Penang Fc Tewas Kepada Jdt
Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas kedudukan takhta Liga Super selepas mengatasi Penang FC 2-0, pada aksi yang berlangsung sengit di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan bergelut hampir sepanjang perlawanan dalam usaha menembusi gawang Penang FC yang dikawal rapi barisan pemain bimbingan ketua jurulatih Tomas Trucha, sebelum akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada 10 minit terakhir perlawanan.
Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-81 sekali gus menghukum kesilapan penjaga gol pelawat Samuel Somerville yang mengasari Gonzalo Cabrera dalam kawasan penalti.
Penang FC terus goyah sejurus gol pembukaan perlawanan sehingga membenarkan JDT menyumbat gol kedua perlawanan menerusi Fernando Rodriguez pada minit ke-85, untuk menghadiahkan tiga mata penuh dan meneruskan rentak kemenangan pasukan.
Pada masa sama, Terengganu FC (TFC) turut merakam kemenangan kedua liga selepas mencalar ego Selangor FC dengan kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Jordan Mintah membuka akaun gol skuad Penyu menerusi tandukan pada minit ke-35, sebelum sentuhan pertama pemain gantian Mohammad Rahmat Makasuf pada minit ke-61 memastikan TFC selesa mendahului 2-0.
Selangor FC merapatkan kedudukan apabila Mohamad Shahrul Nizam Ros Hani tertampan gol sendiri pada minit ke-74, namun Mohamad Hakimi Abdullah memastikan TFC mengutip tiga mata penuh dengan meledak gol ketiga pada masa tambahan penghujung perlawanan.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bangkit daripada kekecewaan aksi Piala Sumbangsih minggu lalu, apabila melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Sabah.
Dua gol skuad tuan rumah masing-masing dijaringkan Tchetche Kipre pada minit ke-15 dan Kpah Sherman pada minit ke-21, sudah cukup untuk memberikan tonik berharga menjelang aksi berdepan Penang FC Jumaat ini.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC merampas kedudukan pendahulu Liga Premier, selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan kejayaan 2-1 menundukkan Selangor FC 2 di Stadium Majlis Pebandaran Selayang.
Pemain import baharu dari Cameroon Alain Akono muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-87, selepas kedua-dua pasukan terikat hasil jaringan pembukaan R. Barathkumar pada minit ke-31 dan jaringan penyamaan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-72.
Dalam pada itu, Skuad Projek FAM-MSN mengalami kekalahan kedua berturut-turut setelah tewas 1-2 kepada Kelantan FC di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. ― Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2021/03/penang-fc-tewas-kepada-jdt.html