Pemuda Menyamar Doktor Diarah Jalani Khidmat Masyarakat 120 Jam
Oleh Ahmad Farhan
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini. Foto GAMBAR HIASAN SEORANG pemuda dari Bandar Baru Semariang diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 120 jam atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Tertuduh pada 6 Julai lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Oleh itu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam agregat dalam tempoh satu tahun mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan (doktor) pada 16 Jun sehingga 1 Julai 2021 di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.
Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas kakitangan palsu Hospital Umum Sarawak (HUS).
Difahamkan, tertuduh pernah pergi ke HUS kira-kira 32 kali untuk menyamar sebagai doktor.
Dia juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, stetoskop, oksimeter nadi dan menempah cap atas nama Dr. Shah Hairil Izwan.
Tertuduh bagaimanapun ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya kira-kira pukul 3 petang pada 1 Julai 2021.
Ini selepas seorang doktor lelaki berusia 25 tahun yang juga pengadu mendapati tertuduh mempamerkan perbuatan mencurigakan di PPV tersebut.
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/pemuda-menyamar-doktor-diarah-jalani.html