Pemuda Mca Pahang Dan Wanita Putra Tuntut Menteri Kpkt Dedahkan Butiran Penuh Projek Mykiosk Madani

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming didesak untuk mendedahkan butiran penuh berkenaan projek MyKiosk Madani.
Ia selepas timbulnya dakwaan harga seunit kiosk untuk projek itu jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.
"Pemuda MCA Pahang menuntut agar pendedahan penuh semua dokumen kontrak, proses perolehan dan sebut harga sebenar setiap unit kiosk.

"Kami juga menuntut siasatan bebas dan telus oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau satu pasukan penyiasat yang benar-benar berkecuali," kata Pemuda MCA Pahang dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Nga berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu mengenai projek MyKiosk.
Mengenai dakwaan kos model MyKiosk yang tinggi, Nga berkata ia wajar kerana gerai MyKiosk 2.0 telah ditambah baik dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan untuk peniaga.
Katanya, kos RM25,000 untuk satu gerai adalah harga siling yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan maka kontraktor perlu menawarkan harga yang lebih rendah.
Dia juga berkata kementeriannya terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak, termasuk SPRM, berhubung ketelusan harga MyKiosk.
Persoal lokasi MyKiosk
Ketua Wanita PUTRA, Nurhafizah Jamalludin pula mencabar Nga untuk mendedahkan butiran lengkap spesifikasi setiap kiosk, termasuk kos pembinaan, pemasangan dan lokasi ia ditempatkan.
Nurhafizah juga meminta KPKT menyenaraikan senarai penuh kontraktor dan subkontraktor yang terlibat dalam projek itu dan audit bebas dijalankan oleh badan bukan kerajaan.
Dia juga mempersoalkan keputusan untuk menempatkan kiosk tersebut di lokasi yang disifatkan sebagai tidak strategik.
"Menyedihkan apabila kita melihat lambakan kiosk ini ditempatkan di lokasi yang tidak strategik, malah ada yang didirikan di kawasan sunyi, hujung jalan dan pinggir hutan, seolah-olah sekadar menghabiskan kuota perbelanjaan tanpa mengambil kira kebajikan dan kelangsungan peniaga,” dakwanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pemuda MCA Pahang mengecam Nga kerana ingin membuat laporan polis terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berhubung MyKiosk, bukannya memberi penjelasan yang berlandaskan fakta dan data.
"Tindakan ini menunjukkan kecenderungannya menakut-nakutkan rakyat dan menyekat kebebasan bersuara, bertentangan dengan prinsip demokrasi serta ketelusan.
"Pemuda MCA Pahang ingin menegaskan projek MyKiosk bukan sekadar isu kecil. Ia melibatkan perbelanjaan awam bernilai ratusan juta ringgit, berkaitan dengan mata pencarian ribuan peniaga kecil dan mencerminkan tahap tadbir urus dan ketelusan kerajaan," katanya lagi.
Projek MyKiosk adalah inisiatif KPKT untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam dan selesa.
Ia bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewa rendah. #MalaysiaKini
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/05/pemuda-mca-pahang-dan-wanita-putra.html