Pemuda Amanah Perak Dakwa Pembangkang Salah Guna Masjid Surau
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
[email protected]ANTARA program parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri Perak baru-baru ini mendapat bantahan daripada Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH). - Foto Ihsan Pemuda Amanah Perak
IPOH: Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa mengesan sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri ini, baru-baru ini.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata tindakan kedua-dua parti berkenaan nyata tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam menguatkuasa peraturan sedia ada.
Beliau berkata, ia kerana penggunaan masjid dan surau dalam aktiviti yang jelas membawa mesej politik kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Nazrin selaku ketua agama di negeri ini.
Katanya, Sultan Nazrin ketika menjadi Raja Muda Perak pernah menitahkan pada majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan Perak dan pegawai tadbir agama daerah di Kompleks Islam di sini, antara lain menegaskan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya harus menjadi instrumen perpaduan untuk menyatu padukan ummah.
“Perkara ini turut diberi peringatan oleh Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusup Husin, bulan lalu, supaya Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013, dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ANTARA program parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri Perak baru-baru ini mendapat bantahan daripada Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH). - Foto Ihsan Pemuda Amanah Perak
Hasnul Zulkarnain yang juga EXCO kerajaan negeri, mendakwa antara program berkenaan adalah anjuran Wanita UMNO dan Muslimat PAS Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar, dan Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia.
Dakwanya, surau lain yang digunakan untuk menganjurkan program atas nama parti adalah Surau Klebang Prima, dekat sini, yang membawa kain rentang dengan logo parti UMNO dan PAS di dalam masjid, dan Surau Al-Ittihad di Kampung Temiang, di sini yang turut membawa pemimpin utama PAS ke program berkenaan.
“Apa yang lebih menyedihkan adalah program berkenaan dijalankan dengan pengetahuan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengekang perkara itu.
“Kami menggesa supaya semua pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini terutama JAIPk agar bertindak lebih profesional dan memantau setiap aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau selaras dengan titah Tuanku Sultan Nazrin yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas permainan politik,” katanya.
Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, berkata Pemuda AMANAH Perak juga menggesa semua pihak terutama UMNO dan PAS menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan masjid dan surau di negeri ini dengan berselindung di sebalik program keagamaan.
Katanya, Pemuda AMANAH Perak juga menasihati semua AJK masjid dan surau yang dilantik agar dapat bertindak tegas dalam perkara itu meskipun ada sebahagiannya yang cenderung menyokong parti politik tertentu, tetapi usaha memelihara kesucian masjid dan surau daripada pengaruh politik kepartian harus menjadi keutamaan.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata program anjuran parti itu di masjid dan surau hanya membabitkan aktiviti keagamaan seperti tazkirah agama serta program tadarus al-Quran dan tidak membabitkan kegiatan berbentuk politik.
Beliau bagaimanapun berkata, sebagai rakyat Perak, mereka sedaya upaya akan berusaha mematuhi titah Sultan Nazrin berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau.
“Jika bercakap mengenai penggunaan masjid dan surau untuk aktiviti parti, DAP pun ada menggunakan masjid juga.
“Cuma, kita sebagai orang Islam, menggunakan masjid untuk aktiviti keagamaan dan untuk ceramah politik, kami ada markas di setiap daerah untuk berbuat demikian,” katanya sambil menyatakan ada kalanya apabila pemimpin PAS atau wakil rakyat hadir di sesuatu program di masjid dan surau, kadang kala jemaah sendiri yang meminta mereka memberikan tazkirah agama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, pula berkata setahu beliau program anjuran partinya bersama PAS di masjid dan surau hanya membabitkan aktiviti keagamaan seperti tadarus al-Quran dan bukan berpolitik.
ANTARA program parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri Perak baru-baru ini mendapat bantahan daripada Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH). - Foto Ihsan Pemuda Amanah Perak
Beliau turut menghantar gambar menerusi WhatsApp kepada BH berhubung kain rentang majlis berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, di Dataran Masjid As-Saadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan, pada 17 Mei lalu, yang turut memaparkan logo PH, serta kain rentang majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan PH Pasir Salak di Masjid Al-Falah, Parit 6A, Sungai Manik, Teluk Intan, pada 22 Mei lalu, yang juga memaparkan logo PH.
Saarani berkata, adalah tidak adil kepada Hasnul Zulkarnain menuding jari kepada UMNO dan PAS sahaja sebab parti PH juga menganjurkan majlis di masjid atas lambang parti dan dibuktikan menerusi dua kain rentang berkenaan.
"Jadi, saya meminta YB (Yang Berhormat) Hasnul untuk komen majlis (anjuran PH di masjid) itu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin, mengakui masih ada jawatankuasa masjid dan surau di negeri itu yang mengabaikan arahan supaya tiada ceramah atau aktiviti berunsur politik dilakukan di rumah ibadat berkenaan.
Beliau berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah jelas iaitu tidak mahu masjid dan surau dijadikan medan permainan politik dengan JAIPk sudah mengeluarkan pekeliling di semua premis berkenaan pada September tahun lalu serta awal bulan ini berhubung larangan berkenaan.
“Arahan sudah dikeluarkan tidak membenarkan aktiviti politik di masjid dan surau manakala sebarang aktiviti ceramah dan penganjur ceramah perlu mendapat kebenaran daripada pejabat JAIPk di daerah masing-masing.
“Isunya ialah ada jawatankuasa masjid dan surau membiarkan (aktiviti politik) atau tidak berperanan, ada jawatankuasa yang mengabaikan arahan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Yusof berkata, kaedah pemantauan yang dilakukan oleh JAIPk ialah menerusi jawatankuasa kariah di setiap masjid dan surau yang harus berperanan mengekang sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.
Beliau berkata, adalah sukar untuk pegawai JAIPk sendiri melakukan pemantauan kerana aktiviti ceramah dilakukan setiap malam di hampir di semua kira-kira 600 masjid dan lebih 2,000 surau di seluruh Perak.
Katanya, larangan terhadap ceramah politik di masjid dan surau juga sebenarnya sudah dibuat pada tahun 2013 dan sepatutnya semua jawatankuasa masjid dan surau harus mematuhi titah Sultan Nazrin dan arahan JAIPK itu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/05/pemuda-amanah-perak-dakwa-pembangkang.html