Peminta Penerima Pemberi Rasuah Berdepan Tindakan Undang Undang
Dr. Zuraini Ab Hamid.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

             MASYARAKAT sering mengumpamakan rasuah  sebagai satu penyakit barah yang sekiranya tidak diubati, ia akan terus  merebak dan meruntuhkan peradaban sesebuah negara. Kes rasuah terbaru  yang menggemparkan negara adalah kes Bekas Menteri Kewangan Malaysia,  Lim Guan Eng. Beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7  Ogos 2020 atas tuduhan meminta rasuah sebanyak 10% daripada keuntungan yang akan  diperolehi dari projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. Sekiranya  didapati bersalah, beliau boleh disabitkan di bawah Seksyen 16(a)(A)  Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum  penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau  RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Dalam kebanyakkan kes yang dilaporkan, hanya penerima dan peminta  rasuah sahaja dituduh. Namun begitu, tidak bermakna mereka yang  memberikan rasuah atau yang menyembunyikan maklumat berkaitan rasuah  akan terlepas dari sebarang tindakan undang-undang. Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggiatkan usaha mereka untuk  membanteras jenayah ini termasuklah memberikan panduan yang berterusan  kepada orang awam. Rasuah adalah aktiviti penerimaan atau pemberian  suapan seperti wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan  diskaun sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana  melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan  tugas rasmi. Suapan ini juga turut dikenali dalam kalangan masyarakat
sebagai “duit kopi”, “sumbangan”, dan “derma”.
Terdapat empat kesalahan utama berkaitan rasuah dinyatakan  dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009)  (Akta 694). Kesalahan-kesalahan tersebut adalah meminta atau menerima  rasuah (seksyen 16 & 17(a)), menawar atau memberi suapan  (seksyen 17(b)), mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18), dan  menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam  (Seksyen 23). Bagi kesalahan menetapkan perbuatan memberi atau  menawarkan rasuah di bawah Seksyen 17 (b) dan kesalahan menerima rasuah  di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, hukuman yang diperuntukkan adalah  penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan  jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan jenayah rasuah ini jelas  kelihatan apabila Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) telah  dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020. Kesalahan ini diperkenalkan bagi  menggalakkan organisasi komersial dan korporat menjalankan perniagaan  secara berintegriti dan bebas dari rasuah. Sekiranya terdapat salah laku  rasuah dilakukan oleh individu berkaitan organisasi tersebut seperti  pekerja, ejen,
kontraktor dan pembekal, organisasi tersebut boleh dihukum kerana  dianggap mempunyai liabiliti. Jika disabitkan, is boleh dihukum dengan  denda tidak kurang 10 kali ganda daripada
nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdapat juga peruntukkan undang-undang yang membolehkan seseorang  didakwa jika gagal melaporkan sebarang kesalahan rasuah kepada pihak  berkuasa. Individu tersebut boleh
dituduh dibawah Akta SPRM 2009 iaitu dibawah Seksyen 25 (1) dan (2) yang  membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000  dan penjara tidak lebih 10  tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 25 (3) dan (4) pula  memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 2  tahun atau kedua-duanya sekali jika gagal melaporkan sebarang permintaan  atau memperoleh suapan.
Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama  membanteras jenayah rasuah dan tidak boleh menyerahkan tugas ini  sepenuhnya kepada kerajaan. Masyarakat tidak perlu bimbang tentang  keselamatan diri dan keluarga sekiranya bekerjasama dengan pihak  berkuasa kerana maklumat pengadu adalah rahsia dan akan dilindungi  sepenuhnya dari didedahkan kepada mana-mana pihak dibawah Akta SPRM  2009, Akta perlindungan Saksi 2009, dan Akta Perlindungan Pemberi  Maklumat 2010.
* Dr. Zuraini Ab Hamid. Penulis ialah Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/peminta-penerima-pemberi-rasuah.html