Pemimpin Umno Maran Di Gesa Tidak Khianati Sesama Sendiri Rakyat Sedang Memerhati
KUANTAN - Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menggesa kepimpinan UMNO Bahagian Maran supaya insaf dan tidak khianati sesama sendiri.
Presidennya, Kapten (K) Haslihelmy DM Zulhasli berkata, beliau sedih melihat kepimpinan UMNO Bahagian Maran yang sehingga kini masih terus bertelagah sesama sendiri.
"Bukan sahaja saya malah rata-rata ahli UMNO akar umbi di Maran bingung dengan sikap pimpinan UMNO Bahagian Maran yang dilihat tidak bersama atau bekerjasama antara satu sama lain.
"Apa dibuat oleh pimpinan UMNO Maran adalah mencari kesalahan sesama sendiri yang akhirnya memberikan kesan tidak baik kepada parti berkenaan," katanya hari ini.
Beliau menggesa semua pihak hentikan sikap kebudak-budakan sedemikian kerana ia langsung tidak memperlihatkan kematangan berpolitik.
Tambahnya, tidak kiralah siapa pun menjadi Ketua, kita harus sedarkah di mana permulaan kita sebelum kita berada pada kedudukan sekarang? Tepuk dada tanya selera.
"Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Hargailah jasa dan pengorbanan pihak lain. Sebagai Ketua, pertontonkan sikap yang baik, yang penuh kematangan berpolitik supaya ia menjadi cerminan dan ikutan ahli peringkat akar umbi.
"Biarlah orang luar mengkhianati kita, tapi jangan kita mengkhianati sesama sendiri yang akhirnya akan memberi kesan tidak baik kepada UMNO Bahagian itu sendiri," dakwanya lagi.
Beliau juga merayu dan meminta agar kemelut kepimpinan UMNO Bahagian Maran dapat diselesaikan secara harmoni dan memohon agar Menteri Besar Pahang Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO mencari jalan penyelesaian demi kestabilan dan kesinambungan UMNO Maran.
"Saya sedih melihat komen negatif bukan sahaja dalam kalangan ahli akar umbi UMNO di Maran malah pelbagai pihak yang mahu kemelut di Maran dihentikan dan berdamailah jika berlaku ketidaksefahaman dan perselisihan.
"Nasihat saya, janganlah kita hanya pandai menuding jari bahawa seseorang itu mungkin telah insaf atas perbuatannya, tetapi seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Maran dan Ketuanya juga perlu insaf demi agama, bangsa dan negara.
"Ini bukan masa untuk kita terus bertelagah sesama sendiri dan terus berpolitik yang tidak sudah. Ini masa kita memulihkan kembali ekonomi negara dan rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19," dakwa beliau.
Rakyat khususnya golongan muda pastinya sedang memerhatikan gelagat pimpinan UMNO di Maran, katanya lagi. #PahangDaily
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/02/jangan-khianati-sesama-sendiri-insafkah.html