Pemimpin Siaran Dan Pemimpin Sinaran
Mohd Hasni Izuwan

1- Trend Politik hari ini sedang memasuki era ilusi, di mana persepsi mengatasi prestasi, dan kamera menjadi lebih penting daripada kaedah. Pemimpin mula dilihat bukan dari hasil kerjanya, tapi dari sudut mana dia bersiaran dan sekuat mana trending yang dia cipta.
2- Ramai rakyat kini tertipu dengan wajah dan gaya yang mesra TikTok, tetapi kosong dari segi wawasan dan rekod kerja. Mereka lebih dikenali kerana punchline, bukan penyelesaian. Lebih dikenang kerana gaya bercakap, bukan hasil bekerja.
3- Kita tidak menolak kepentingan komunikasi, tetapi harus ingat, pemimpin yang baik bukan sekadar boleh bercakap dengan rakyat, tapi mesti bekerja untuk rakyat. Populariti adalah nilai tambah, bukan pengganti integriti dan kapasiti.
4- Ada juga pihak berhujah, "Rakyat pilih yang popular, ikut demokrasi." Betul ! tapi demokrasi tanpa kefahaman hanya akan lahirkan pemimpin yang silap kerana dipilih atas sebab yang salah. Kita perlukan pemilih yang bijak, bukan sekadar pemimpin yang bijak bersolek dengan kamera.
5- Kita tidak boleh terlalu bergantung pada keputusan PRN yang lalu untuk menentukan arah masa depan. PRN itu berlaku dalam fasa pasca-COVID, ketika rakyat masih trauma. Ketika itu, majoriti pengundi memilih berdasarkan tekanan hidup, bukan pertimbangan rasional.
6- Ketika itu, janji pengeluaran KWSP oleh pihak tertentu telah dimanipulasi untuk kelihatan seperti "penyelamat rakyat." Padahal, ia bukan dasar jangka panjang. Rakyat yang menyokong janji itu bukan kerana yakin, tetapi kerana terpaksa, demi meneruskan hidup dalam fasa krisis.
7- Akibatnya hari ini, ramai yang menanggung kesan, simpanan tua menyusut, ekonomi masih rapuh, dan kebergantungan kepada bantuan semakin tinggi. Tapi pemimpin yang mencipta persepsi itu terus naik nama seolah-olah mereka paling prihatin, paling bersih walhal mereka jugalah yang menyumbang kepada ketidaktentuan masa depan rakyat.
8- Dalam suasana inilah muncul fenomena trend pemimpin “siaran”, yang lebih sibuk kejar view dari kejar solusi. Mereka bina watak, bukan dasar. Mereka ukir naratif, bukan strategi. Mereka popular bukan sebab bekerja, tetapi sebab pandai menghiburkan dan menyentuh emosi.
9- Kesan jangka panjang? Lahirlah generasi pengundi atas pagar yang saban hari kian bertambah yang terlatih menilai pemimpin berdasarkan siapa yang trending, bukan siapa yang menyelesaikan. Politik berubah menjadi pertandingan persepsi, bukan pentas penyelesaian masalah negara.
10- Contoh paling jelas, Ahli Parlimen Muar. Dahulu dikritik hebat kerana gagal menunjukkan rekod kerja beliau yang kuat di kawasan dan kelihatan lebih ghairah bermain politik selebriti. Namun kerana satu episod bersama seorang artis tanah air baru-baru ini, beliau kembali diangkat seolah-olah wira. Tetapi kerja di kawasannya? Masih kabur dan tidak konsisten.
11- Sebagai Ahli Parlimen dan ikon belia, beliau sepatutnya fokus membina naratif pembangunan, ekonomi anak muda, memperjuangkan suara anak muda, dan menjadi contoh integriti politik. Bukannya menyertai arus politik glamor yang menyimpang dari peranan sebenar wakil rakyat.
12- Urus tadbir negara bukan sekadar soal siapa paling lantang bersiaran di media sosial atau siapa yang paling “sedap didengar” dalam podcast. Ia memerlukan sistem tadbir urus dan tatakelola yang cekap, profesional, dan memahami denyut nadi rakyat secara mendalam.
13- Kerja besar membangun negara tidak boleh diselesaikan dengan retorik kosong dan siaran media yang menggamit emosi sementara. Ia perlukan tindakan konsisten, dasar yang kukuh, dan keberanian membuat keputusan yang sukar tetapi tepat, walau tidak popular di khalayak.
14- Rakyat juga tidak boleh dididik dengan cara memilih pemimpin semata-mata berdasarkan “trend” atau “viral.” Cara ini akan melahirkan pengundi yang mudah berubah dan tidak solid. Trend politik mungkin berubah mengikut arus zaman, tapi sistem pentadbiran memerlukan proses dan jiwa manusia yang sabar, matang, dan berintegriti untuk bertahan lama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/07/pemimpin-siaran-dan-pemimpin-sinaran.html