Pemimpin Bawahan Dap Mulai Meragui Matlamat Dan Perjuangan Dap

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) ini dilaksanakan pada 18 Mac 2020 hingga ketika ini, aktiviti  rutin politik terhenti, khususnya yang melibatkan mesyuarat dan  rapat-rapat umum atau pertemuan di kalangan ahli dan pemimpin parti.
Namun ini tidak bermakna, ahli politik sudah berhenti dan bercuti daripada berfikir dan menilik nasib politik mereka.
Perundingan  terus berlaku, percaturan kumpulan-kumpulan politik masih berjalan dan  gosip politik terus bebas bergerak merentas parti menerusi pelbagai  kumpulan Whatsapp. 
Meriahnya seolah-olah koronavirus ini tidak wujud. 
Muhasabah
Di  waktu PKP sepi daripada aktiviti di ruang awam inilah, kita  bermuhasabah. Bagi yang berfikir tentang hidup dan beragama, pastinya  ketika ini masing-masing sibuk bertadarus atau membaca kitab-kitab hadis  bersama keluarga. 
Bagi mereka yang mengkaji, ketika inilah waktu yang sesuai mengulang kaji teori-teori kajian mereka. Begitulah dengan yang lain.
Saya  pula mengambil kesempatan ini (selain sibuk bekerja dari rumah),  menyambil-nyambil dan membelek kembali buku-buku lama yang sesuai dengan  selera politik saya. 
Saya cuba mengadun apa yang saya baca dan faham dengan realiti apa yang saya lihat mutakhir ini. 
Mungkin benar, mungkin salah. Kefahaman ini semacam suatu corak yang kita boleh jangka. 
Macam  satu lakaran lukisan Bali, kita boleh menjangka lakaran itu, garis dan  moodnya akan berwarna apa. Begitulah siri-siri lukisan Bali yang lain.
Dalam  konteks perjuangan parti politik, dinamik coraknya pun tak jauh beza.  Secara umum mana-mana parti politik sering mengambil langkah popular  yang kurang berisiko dalam gerakan politik mereka. 
Pakatan ‘hancur’ Harapan
Sejarah  mencatatkan kewujudan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menyingkirkan  kumpulan kleptokrat dalam Umno-BN dan membentuk kerajaan baharu yang  lebih berintegriti. 
Namun, kejayaan ini bukanlah kejayaan yang sempurna. 
Kemuncak krisis politik PH ditunjukkan pada 24 Februari 2020 apabila Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri. 
Ia menghancurkan harapan untuk menjadi kerajaan pusat sekurang-kurangnya sepenggal.
Kegagalan  proses peralihan kuasa yang sepatutnya licin, adalah sebahagian  daripada kegagalan pengurusan politik antara parti dan pimpinan dalam  hierarki kuasa politik tertinggi parti. 
Jika ada yang mahu menyalahkan pihak ke tiga, itu bukan perkara pokok. 
Dari kegagalan ini, DAP sebagai sebuah parti politik didalam gabungan PH, kini tersudut dalam satu cabaran yang sangat besar.
Cabaran ini hadir ketika kuasa politik telah hilang, cabaran ini juga hadir di tengah-tengah serangan koronavirus menggila. 
Pada  masa yang sama, cabaran ini juga muncul ketika persepsi politik  terhadap DAP di kalangan masyarakat majoriti di Malaysia iaitu kaum  Melayu, amat rendah.
DAP akan ke mana
Dalam kedudukan  yang sempit dan tidak popular ini, soalan yang diajukan adalah mengenai  hala tuju dan bagaimana DAP akan bergerak selepas krisis politik ini? 
Jawapan  kepada persoalan ini muncul dari rantaian perbualan yang bergerak dan  bersepah-sepah dalam kumpulan-kumpulan Whatsapp, ada yang terlepas  sampai ke telefon bimbit saya. 
Dan saya membaca, memahami dan menapisnya bersama teman-teman. 
Seperti  lukisan Bali, corak politik DAP boleh dijangka. Dalam keadaan gawat  politik, langkah popular adalah dengan kembali kepada sokongan akar umbi  dan undi tradisi DAP iaitu kaum Cina. 
Inilah manifestasi survival parti dan pemimpin hari ini untuk terus kukuh mengakar.
Langkah ini ada logiknya jika diukur berdasarkan teori graviti – apa-apa yang ke atas, akan turun ke bawah. 
Namun, adakah hukum graviti ini yang akan menentukan matlamat perjuangan Roket yang mahu terbang tinggi melewati bulan? 
Saya pernah membangkitkan persoalan ini sekitar dua tahun lalu. 
Dan,  jawapan seorang pemimpin kanan parti kepada saya ketika itu berbunyi  (terjemahan) “DAP memerlukan 50 tahun lagi (untuk benar-benar bersedia  menjadi parti pelbagai kaum)”.
Jika memahami jawapan ini secara literal, ini bermakna DAP memerlukan 50 tahun lagi untuk menjadi dewasa dan matang.
MAHDZIR IBRAHIM seorang pelukis 
anggota jawatankuasa DAP Johor.
MR :  DAP akan mengecil dan menghilang dalam jangka masa tak sampai 10 tahun
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/pemimpin-bawahan-dap-mulai-meragui.html