Pemandu Treler Dakwa Terpaksa Langgar Kereta Parkir Halang Laluan Di R R Ayer Keroh

MELAKA – Pemandu treler yang terlibat dalam insiden melanggar beberapa kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian berkenaan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok oleh pengguna Wan Asyraf, lelaki tersebut mendakwa tindakan itu terpaksa dilakukan selepas menunggu lebih sejam akibat laluan masuk ke R&R berkenaan dihalang oleh kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
Menurutnya, keadaan semakin mendesak apabila deretan kenderaan di belakang semakin panjang, sekali gus menyukarkan pergerakan treler serta kenderaan lain termasuk bas yang membawa penumpang warga emas dan kanak-kanak.
“Desakan terlalu banyak. Kita tunggu lebih sejam sebelum buat ‘live’. Masalahnya kereta parkir halang laluan. Kalau sekejap tak apa, tapi ini lama. Kenderaan belakang beratur panjang. Kita fikir juga pemandu bas dan penumpang, bukan kita tak fikir,” katanya.
Tambahnya, situasi tersebut bukan sahaja menyusahkan pemandu treler, malah menjejaskan ramai pengguna jalan raya lain yang turut terperangkap akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu.
Netizen Beri Sokongan, Isu Parkir Jadi Tumpuan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pemandu treler itu sekiranya berdepan dengan tindakan undang-undang.
Sebahagian mereka berpendapat pemandu tersebut mempunyai asas untuk mempertahankan diri, termasuk mencadangkan agar saksi kejadian tampil membantu serta mendapatkan khidmat guaman jika perlu. Ada juga yang berpandangan tindakan kenderaan yang diparkir di bahu jalan sehingga menghalang laluan menjadi punca utama kekecohan dan kesesakan di lokasi kejadian.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah treler dilaporkan melanggar tiga buah kereta yang diletakkan di tepi laluan masuk ke R&R Jejantas Ayer Keroh, daerah Alor Gajah.
Rakaman video yang tular di TikTok menunjukkan beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan mengalami kerosakan selepas dilanggar dan diheret oleh treler berkenaan ketika cuba memasuki laluan ke kawasan R&R tersebut.
Susulan kejadian itu, pihak polis mengesahkan empat kenderaan mengalami kerosakan dan memaklumkan kemalangan berlaku akibat kenderaan yang diparkir di bahu jalan berkenaan sehingga menghalang pergerakan treler. – The Malaysian Update
The post Pemandu Treler Dakwa Terpaksa Langgar Kereta Parkir Halang Laluan di R&R Ayer Keroh appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/31/pemandu-treler-dakwa-terpaksa-langgar-kereta-parkir-halang-laluan-di-rr-ayer-keroh/