Pemandu Lori Sampah Tak Cuti Raya Lama Bimbang Sampah Bertimbun
Bernama
Shukor Mohd Yasin yang sudah 6 tahun memandu lori kompaktor unit sisa pepejal
SWM Environment berkata, jumlah sampah meningkat berganda ketika PKPB. (Gambar
SWM)KULAI: Aidilfitri setiap tahun paling ditunggu-tunggu umat Islam dengan ada yang mengambil cuti panjang untuk beraya bersama keluarga.
Namun berlainan bagi Shukor Mohd Yasin, 38, yang tidak mengambil cuti panjang bagi menyambut Hari Raya.
Shukor, pemandu lori kompaktor unit sisa pepejal di syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd sejak 6 tahun lalu, tidak sanggup melihat longgokan sampah di kawasan perumahan sepanjang perayaan itu.
“Bila bekerja dalam bidang ini memang tidak ambil cuti panjang kerana takut sampah bertimbun, apatah lagi ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekarang yang membuatkan jumlah sampah berganda,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Oleh itu, beliau kebiasaannya akan bercuti pada hari raya pertama saja dan kembali bekerja selepas itu.
“Menjelang Hari Raya, kita juga akan ambil masa sehari awal untuk ‘cover’ kutipan sampah. Kalau tidak, sampah akan bertambah banyak.”
Shukor berkata, tugasnya tahun ini agak mencabar kerana “dibayangi” pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, bapa beranak 2 itu sentiasa mengutamakan kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bertugas bagi mengelakkan dijangkiti virus berkenaan.
“Rasa takut itu memang ada sebab kita bekerja, berjumpa dengan ramai orang dan terdedah dengan orang sekeliling.
“Tetapi bila patuh SOP, kita berasa lebih selamat. Malah setiap kali bertugas, topeng, sarung tangan, cecair pembasmi kuman dan periksa suhu badan sentiasa ada dan menjadi keutamaan.”
Sementara itu, Pentadbir SWM Environment Cawangan Kulai, Amirul Ashaf Ab Rahman berkata jumlah sampah yang dikutip meningkat sejak PKP dilaksanakan kerana kebanyakan orang duduk di rumah.
“Sebelum ini, memang kita menggalakkan pekerja berkomunikasi dengan penduduk. Namun sejak PKP, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan komunikasi pekerja dengan penduduk dan mengingatkan mereka menjaga jarak bagi mengelakkan diri dijangkiti.
“Malah, lori sampah juga sentiasa disanitasi, pekerja diperiksa suhu badan dan sebagainya kerana mereka merupakan keutamaan kami.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/pemandu-lori-sampah-tak-cuti-raya-lama.html