Pelancong Dari Negara Berisiko Omicron Dilarang Masuk Sementara Waktu
MALAYSIA NOW
VTL bagi negara berisiko juga turut ditangguhkan selain penutupan sistem 'autogate' di lapangan terbang buat sementara waktu.
Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) juga turut ditangguhkan dengan negara-negara berisiko penularan varian baru Omicron. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata larangan sementara akan dikenakan ke atas pelancong dari negara yang melaporkan varian dibimbangi (VOC) Omicron atau negara dianggap berisiko tinggi.
Menurutnya, kerajaan juga akan menangguhkan rancangan untuk menubuhkan apa yang dipanggil Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan negara-negara tersebut.
“Penangguhan dilaksanakan sehingga gambaran lebih jelas diperolehi mengenai penularan varian Omicron di peringkat global,” katanya pada satu sidang media hari ini.
Dalam pada itu Khairy berkata sistem “autogate” Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk negara ini akan diberhentikan operasi buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta, berikutan penularan varian dibimbangi (VOC) Omicron di 20 negara.
Menurutnya, penumpang penerbangan dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara berisiko akan dibenarkan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
“Pihak MAHB perlu menyediakan “gate” khas bagi penerbangan tersebut,” katanya.
Beliau turut berkata syarikat penerbangan “bertanggungjawab mengenal pasti penumpang dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi.”
Selain itu, syarikat penerbangan juga diarahkan untuk mengemukakan maklumat penumpang tersebut kepada pejabat kesihatan KLIA bagi memudahkan pengendalian ketibaan mereka.
Langkah menyediakan laluan khas kepada penumpang yang dikenal pasti itu adalah bagi penyelarasan stesen kuarantin dan proses saringan kesihatan mengikut garis panduan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Sebelum ini langkah serupa diambil kerajaan pada awal pandemik melanda negara pada Mac tahun lalu.
Ia bagi tujuan kawalan yang lebih ketat dalam menangani penularan virus Covid-19.
Khairy turut mengingatkan supaya orang ramai tidak meraasa selesa dengan kejayaan kadar vaksinasi dalam negara sehingga wujud mereka yang tidak mahu menerima dos penggalak.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan ambil mudah perkara ini. Sekiranya anda telah layak untuk menerima dos penggalak dan telah diberikan janji temu, sila penuhi janji temu tersebut dan ambillah dos penggalak.
“Dengan kewujudan VOC Omicron, KKM sangat menggalakkan pengambilan dos penggalak,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/12/pelancong-dari-negara-berisiko-omicron.html