Pelajar Berperahu Ke Sekolah Kini Jadi Peguam
JACQUELYN Juliet mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam. FOTO Ihsan Jacquelyn Juliet Suching
klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)
'Basak Budouk Basak Tenguk'.
Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
RAKAMAN video menunjukkan Jacquelyn Juliet ketika pulang ke sekolah menaiki perahu merentasi Sungai Rajang. FOTO Ihsan Jacquelyn Juliet Suching
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
"Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa menrentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.
"Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami," katanya.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
"Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
"Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami," katanya yang berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
SETIAP kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih. FOTO Ihsan Jacquelyn Juliet Suching
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
"Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.
"Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja," katanya yang masih bujang.
JACQUELYN Juliet bersama keluarganya selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah. FOTO Ihsan Jacquelyn Juliet Suching
Berhubung video TikToknya, Jacquelyn Juliet berkata, video itu dirakam guru matematiknya, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018, namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
SOURCE:
Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://beritaup2date.blogspot.com/2023/07/pelajar-berperahu-ke-sekolah-kini-jadi.html