Pelabuhan Sesak Harga Barang Meningkat Tahun Baru Cina
Kesesakan kontena di Pelabuhan Klang sekiranya tidak diatasi segera boleh menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan menjelang Tahun Baharu Cina.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, sekiranya proses penghantaran barang yang biasanya mengambil masa dua hari ditunda kepada hampir seminggu maka tidak mustahil gangguan rantaian bekalan akan berlaku dan meningkatkan harga bagi barang-barang import.
“Sektor barangan import akan mengalami permintaan tinggi sehingga tiga kali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina. Memandangkan perayaan itu disambut awal Februari, permintaan barangan import pasti menerima permintaan tinggi.
“Menurut Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), perkara ini berlaku kerana peningkatan kapal kontena secara mendadak berikutan kelewatan di pelabuhan dan faktor cuaca buruk.
“Harus diingat, sekiranya masalah kesesakan ini berlanjutan, kekurangan bekalan dalam pasaran akan menyebabkan kenaikan harga barang. Sudah tentu perkara ini membebankan rakyat lebih-lebih lagi dalam tempoh fasa pemulihan ekonomi.
“Kesan lebih buruk apabila bekalan makanan import seperti sayur dan makanan tidak dihantar ke pemborong dan peruncit mengikut garis masa yang ditetapkan. Akhirnya, bekalan akan rosak, menyebabkan pengimport terpaksa menanggung beban dan menaikkan kos,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Ibrahim yang juga Jurucakap Telekomunikasi, Digital dan Pengangkutan KEADILAN berkata, beliau pernah membawa masalah yang sama dihadapi oleh sektor kargo udara dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Namun isu kesesakan kontena juga sangat relevan memandangkan ia membawa impak secara tidak langsung kepada rakyat.
“Saya sedia maklum pihak berkuasa seperti LPK dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sedang bekerjasama dalam menangani isu ini. Namun, saya menyarankan agar Kementerian Pengangkutan (MOT) lebih proaktif memainkan peranan.
“MOT wajar berhubung dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pihak pelabuhan, pengimport dan pemborong serta peruncit bagi mencari titik penyelesaian terhadap. Cadangan seperti membuka “laluan hijau” bagi barangan yang mudah rosak dan melipatgandakan waktu operasi seperti yang diamalkan oleh pelabuhan Labuan harus diteliti,” katanya lagi.
Selain itu, Syed Ibrahim turut menyarankan MOT mempertimbangkan pelaksanaan usaha pemindahan kargo di luar kawasan pelabuhan bagi tujuan simpanan dan aktiviti berkenaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/31089