Pekerja Wanita Taman Safari Maut Dibaham Harimau
Ibarra tidak menyedari bahawa pintu kandang harimau itu terbuka ketika dia ditugaskan mencucinya. - Mirror UK
RANCAGUA, CHILE – Seorang pekerja wanita di sebuah taman safari di Chile maut diserang seekor harimau ketika membersihkan kandang haiwan itu, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Catalina Ibarra, 21, diserang harimau tersebut kerana tidak sedar pintu yang memisahkan haiwan itu dan kandang yang dicuci terbuka.
Ia lantas melompat ke arah Ibarra dan membaham lehernya yang mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.
Menurut rakan sekerjanya, Leonardo Maluenda, gadis itu tidak diberitahu bahawa pintu kandang harimau itu terbuka ketika dia ditugaskan mencucinya.
“Perkara paling logik adalah ketika mereka memberitahu bahawa anda perlu berhati-hati jika mencuci kandang tersebut kerana ada harimau berkeliaran, namun mereka tidak memberi amaran kepadanya (pintu terbuka),” katanya.
TRAGEDI RIMAU Wanita malang mati dibaham harimau setelah penjaga haiwan 'gagal memberi amaran bahawa pintu kandangnya TIDAK TERTUTUP' . Susulan insiden tersebut, pihak pengurusan Safari Rancagua saling menuding jari dengan Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Antonio Rojas mendakwa bahawa sekumpulan pekerja telah membuka kunci kandang harimau itu tanpa mengikut protokol.
Bagaimanapun, beberapa pekerja ketika disoal siasat berkata, kandang tersebut sememangnya telah terbuka dan bukan mereka yang membukanya.
Ibarra yang telah berkhidmat selama dua tahun di taman safari tersebut ditugaskan dengan kerja pembersihan dan penyelenggaraan selain turut menjadi juru pandu lawatan kepada pengunjung.
Tiada satu pun tugasnya yang memerlukannya untuk berinteraksi secara terus dengan mana-mana haiwan di situ.
Insiden itu kini disiasat mengenai kemungkinan terdapatnya unsur kecuaian.
Setakat ini, nasib harimau yang membunuh Ibarra masih tidak dapat dipastikan. – AGENSI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://beritaup2date.blogspot.com/2021/08/pekerja-wanita-taman-safari-maut.html