Peka Sedia Talian Hayat Untuk Pekerja Asing Ditimpa Musibah
KUALA LUMPUR: Hilang arah. Itulah nasib malang yang sering dihadapi oleh pekerja warga asing yang ditimpa musibah atau menjadi mangsa penipuan majikan setelah dijanjikan dengan pelbagai peluang pekerjaan di negara ini.
Menyedari akan masalah itu, Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA) menyediakan satu program ‘talian hayat’ dengan mengambil beberapa pendekatan untuk membantu menangani masalah dan isu melibatkan warga asing di negara ini.
Presiden PEKA, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata sebagai langkah awal untuk menjaga kepentingan pekerja warga asing, PEKA mewujudkan sebuah Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran.
“Ia memudahkan pihak kerajaan untuk merangka satu kaedah khusus penyelesaian isu yang melibatkan proses bantuan kebajikan atau perundangan membabitkan pekerja warga asing.
“PEKA memainkan peranan kemanusiaan dalam memberikan perkhidmatan biro guaman serta pengurusan dan penghantaran pulang jenazah ke negara asal mereka yang terpinggir ekoran menjadi mangsa penipuan ejen dan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata konsep pelaksanaan gerak kerja bantuan kemanusiaan PEKA terbahagi kepada tiga fasa iaitu bancian, pendaftaran peserta serta pemantauan. Secara tidak langsung maklumat yang ada mudah untuk menjejaki mereka.
"Hidup sesama insan, kita perlu bantu. PEKA bantu atas dasar kemanusiaan bukan kerana agama dan bangsa.
Zuhairi berkata secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan sangat baik yang menekankan pendekatan psikologi sebagai alternatif kepada kawalan penguatkuasaan dalam menangani krisis migrasi haram atau pendatang asing tanpa izin.
"Setakat ini, lebih 12,000 warga asing kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh mendaftar di bawah Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran yang dianjurkan oleh PEKA,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 12 Januari 2017, antara pekerja asing lain yang turut mendaftar adalah dari Filipina, beberapa negara dari Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.
Zuhairi berkata usaha itu tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, sebaliknya lebih bersifat kerjasama antara agensi berkaitan dalam bentuk perkongsian kepakaran dan tanggungjawab antara kedua-dua belah pihak. #PDOhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2018/10/peka-sedia-talian-hayat-untuk-pekerja.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29