Peguam Mohon Naskhah Bm Perlembagaan Diisytihar Teks Sahih
Haniff Khatri Abdulla dakwa kerajaan ‘gagal, enggan atau abai’ kuat kuasa kedudukan teks bahasa kebangsaan atasi versi Bahasa Inggeris.
Peguam Haniff Khatri Abdulla fail writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pengiktirafan naskhah Perlembagaan dalam Bahasa Melayu sebagai teks sahih.PETALING JAYA: Seorang peguam memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon pengisytiharan agar naskhah Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu diiktiraf sebagai teks sahih
Haniff Khatri Abdulla berkata, beliau memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui firma guaman Ahmad Fuad Abi & Aidil.
Saman itu menamakan kerajaan sebagai defendan dan bertujuan mendapatkan perisytiharan Mahkamah Tinggi supaya versi Perlembagaan dalam bahasa kebangsaan mengatasi versi Bahasa Inggeris.
“Pemfailan saman ini berasaskan kepada Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa jika dan apabila Perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih; dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu,” menurut Haniff.
Beliau berkata, walaupun Agong telah melancarkan teks Perlembagaan dalam Bahasa Melayu pada 29 Sept 2003, kerajaan masih belum menjadikannya teks sahih.
“… sehingga kini, iaitu lebih dua dekad selepas daripadanya, kerajaan masih lagi gagal, enggan dan/atau abai dari menguatkuasakan kedudukan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih,” tambahnya.
Beliau mendakwa, perkara ini merupakan kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk memastikan segala langkah yang perlu diambil bagi ‘memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan’.
“Adalah sangat tidak munasabah, bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia, tetapi masih lagi tidak memiliki teks sahih Perlembagaan di dalam bahasa kebangsaannya sendiri, selepas lebih enam dekad mencapai kemerdekaan,” katanya.
Pada 2023, Idrus Harun, iaitu peguam negara ketika itu berkata, Jabatan Peguam Negara bercadang mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjadikan Perlembagaan versi Bahasa Melayu sebagai teks sahih.
Bagaimanapun, katanya, perkara ini tertakluk pada perkenan Agong.
Cadangan ini mendapat tentangan daripada sebuah majlis antara agama, yang menyatakan bahawa kebergantungan pada teks Bahasa Melayu akan memberi kesan ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan penukaran agama secara unilateral.
Seorang Ahli Parlimen juga berkata, langkah sedemikian mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Sabah dan Sarawak - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/07/peguam-mohon-naskhah-bm-perlembagaan.html