Pau 2019 Bakal Terjemah Isu Rakyat Kegagalan Kerajaan Ph
Isu rakyat bakal diterjemah dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 berikutan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun dulu Barisan Nasional (BN) sering digelar sebagai ‘Barang Naik’ tetapi kini apabila pembangkang menjadi kerajaan, ternyata mereka gagal dan tidak dapat membendung hal tersebut, tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, lebih memburukkan keadaan apabila PH menghadapi permusuhan yang dicipta oleh kerajaan dengan negara-negara pembeli besar kepada produk negara ini.
“Memang mengecewakan apabila harga komoditi iaitu barang-barang pertanian khususnya semakin turun harganya kerana permasalahan ditimbulkan oleh kerajaan sekarang ini, disebabkan mereka bermusuhan dengan negara-negara pembeli besar kepada produk-produk kita dan akibatnya rakyat menderita.
“Kerana itulah rakyat menaruh harapan kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib mereka termasuklah oleh mereka yang tidak berpendapatan, kumpulan miskin tegar, B40 atau kumpulan M40, hak mereka harus dikembalikan,” katanya.
Bukan itu sahaja, tegas beliau, kumpulan tokoh korporat dan ahli perniagaan juga kecewa dan mengharapkan UMNO dan rakan-rakan dalam komponen BN serta Muafakat Nasional memperjuangkan semula nasib mereka.
“…insya Allah keterangkuman kita kepada semua agama, semua kaum dan semua kumpulan mengikut susunan lapis masyarakat, kita akan perjuangkan nasib mereka ini dan inilah juga yang diharapkan oleh masyarakat di luar perwakilan yang hadir di PAU 2019 agar pembahas menyuarakan kesengsaraan mereka,” ujar beliau dalam dalam wawancara khas sempena PAU 2019 bermasa UMNO-Online.
Tambah Zahid, walaupun UMNO kini bergelar pembangkang namun UMNO tetap menjadi penyambung kepada sanubari dan citarasa serta hati nurani rakyat.
“Insya-Allah kita akan menjadi kerajaan semula selepas PRU-15 maka kita akan dapat menterjemahkan semua isu rakyat ini untuk dijadikan dasar dan diterjemahkan sebagai jambatan kepada rakyat keseluruhannya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai kumpulan.
“Justeru kita jangan terlalu terbuai dengan kemenangan dan hanya bernostalgia dengan kejayaan-kejayaan khususnya di empat PRK dan terakhir di Tanjung Piai kerana fokus kita adalah kemenangan dalam PRU-15.
“Kita harus mengambil pengajaran dari apa yang berlaku ketika PRK Sungai Besar, biarpun kemenangan ketika itu merupakan kemenangan besar dan menggalakkan tetapi dalam PRU-14 kita bukan hanya kehilangan kerusi Parlimen, kita hanya memperolehi 79 kerusi Parlimen daripada 112 kerusi yang diperlukan tetapi kita juga kehilangan negeri-negeri yang dulunya dikuasai oleh UMNO dan BN, hanya tinggal dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis,” jelas beliau.
Namun beliau yakin, dengan gelombang kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dan merasa meluat dengan kerajaan hari ini, UMNO akan terus menggembleng tenaga dan terus bersatu semangat serta roh perjuangan demi mencapai objektif yang telah ditetapkan.
“Sebab itu juga kita harus bergerak dengan ikhlas menghidupkan jentera kita dengan tersusun, berstruktur dan bersemangat, insya-Allah dalam waktu yang singkat kita akan menjadi kerajaan semula dan saya amat mengharapkan perhimpunan kali ini kita dapat mensyorkan beberapa langkah baru yang patut diambil bukan sahaja oleh kepimpinan tetapi semua lapisan ahli UMNO di peringkat akar umbi, cawangan, bahagian dan negeri agar semangat ini dapat diterjemahkan.
“Keutamaan kita adalah perpaduan kerana ia tonggak utama kepada kejayaan dan jangan ada mufarakah, jangan ada pecah-belah, jangan ada rasa taksub kepada pemimpin tertentu, individu tertentu kerana yang penting kita bergerak dalam satu harakah, dalam satu gerakan dan dalam satu kumpulan,” tegas beliau. – UMNO ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/12/03/pau-2019-bakal-terjemah-isu-rakyat-kegagalan-kerajaan-ph/