Patah Kaki Diserang Gajah Liar
   Adnan Ibrahim 
 
  SEORANG  lelaki warga Indonesia patah kedua-dua belah kaki selain cedera  dibeberapa bahagian badan akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam  kejadian di Ladang Sungai Sayong di Kahang pada 7.30 pagi semalam.
Pengarah  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri  Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima laporan kejadian 10 pagi  sebelum sepasukan anggota Perhilitan Kluang dikejarkan ke tempat  kejadian.
Katanya,  hasil maklumat dan siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Nandang  Sunarya,49, sedang membuka pintu pagar ladang untuk bekerja tanpa  menyedari kehadiran beberapa ekor gajah liar dibelakangnya.
“Sebaik  sahaja pintu pagar itu dibuka, kumpulan gajah berkenaan secara  tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam ladang dan menyerang mangsa  menyebabkannya tidak sempat mengelak rempuhan binatang berkenaan.
“Akibat  kejadian itu, mangsa cedera di kedua-dua belah kaki disyaki patah  selain terdapat kecederaan di bahagian luaran badan mangsa, muka mangsa  juga lebam dan lain-lain kecederaan dalaman tidak dapat  dipastikan,”katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.
Menurut  Salman, mangsa dijumpai oleh rakan sekerjanya pada 8 pagi sebelum  dirujuk ke Hospital Kluang untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan  lanjut.
“Siasatan juga mendapati ladang tersebut mempunyai sistem  pagar elektrik gajah, bagaimana pun, kawasan ladang berkenaan juga  adalah kawasan laluan utama kumpulan gajah di Taman Negeri yang  dianggarkan berjumlah antara 40 hingga 50 ekor.
“Ini adalah kejadian pertama manusia diserang gajah di Johor pada tahun ini,” katanya.
Salman  berkata, pada tahun lalu hanya terdapat dua kes gajah menyerang manusia  di Johor dengan merekodkan satu kematian di kebun sayur FELCRA Batu 22,  Jln. Kluang -Jemaluang dan satu kecederaan di Felda Nitar 2, Mersing.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/patah-kaki-diserang-gajah-liar.html