Pas Sokong Langkah Kerajaan Pahang Haramkan Vape Serta Merta Proaktif Bantu Penjual Beralih Bisnes

KUANTAN: Parti Pas SeMalaysia (PAS) hari ini menyatakan sokongan kepada langkah Pahang mengharamkan penggunaan vape secara serta-merta seperti diumumkan kerajaan negeri semalam.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata memang menjadi tanggungjawab bersama untuk menyokong langkah pengharaman berkenaan demi kesejahteraan dan kesihatan generasi masa depan.
Pun begitu, katanya, langkah kerajaan negeri itu wajar disusuli dengan tindakan lanjut.
“Saya mencadangkan agar kerajaan Pahang mengambil langkah proaktif membantu para peniaga vape untuk beralih kepada bentuk perniagaan lain yang bersifat halalan toyyiban bagi menjamin kelangsungan hidup mereka selepas pelaksanaan larangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan, Pahang membuat keputusan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa agama negeri.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, , Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata langkah tersebut juga mendapat limpah perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Dia juga menjelaskan keputusan mengharamkan penjualan peranti itu di semua premis di seluruh Pahang terletak pada pertimbangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita (kerajaan negeri) cadangkan supaya penjualan vape ini juga dikurangkan secara beransur-ansur... secara berperingkat, atas kemampuan PBT itu sendiri.
"Cuma kalau boleh mulai tahun depan, kita tidak mahu ada lagi tempat atau premis menjual vape,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka menjelaskan, keputusan diambil kerajaan Pahang adalah selaras dengan fatwa dikeluarkan pejabat mufti negeri terbabit.
“Tindakan tersebut yang mengikut jejak kerajaan Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor adalah langkah yang tepat dan perlu disambut baik oleh seluruh warga Pahang,” katanya. #Malaysiakini
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/06/pas-sokong-langkah-kerajaan-pahang.html