Pas Sedia Berdialog Dengan Dong Zong Dan Jia Zong
Shawaliah Hadir                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Takiyuddin Hassan 
KUALA LUMPUR – Pas bersedia berdialog dengan Persekutuan  Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan  Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) selain pihak  berkempentingan awam yang lain bagi menyelesaikan isu bantahan  pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil.
 Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan yakin cara itu  akan dapat menghilangkan prejudis dan pertikaian yang tercetus dalam  masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.
 “Pas turut menyambut baik kesediaan pihak Dong Zong dan Dong  Jiao Zong untuk mengadakan dialog dengan semua pihak bagi menyelesaikan  isu bantahan tulisan Jawi.
 “Pas turut bersedia menyertai dialog tersebut dan yakin kaedah  berdialog akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis  dan syak wasangka yang akhirkan akan mewujudkan keharmonian dan  kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini,”  katanya menerusi kenyataan.
 Beliau berkata, parti itu juga bersedia untuk berbincang dengan MCA  selain kedua-dua persatuan itu bagi membincangkan isu yang menyentuh  tentang kepentingan awam.
 Ujarnya keterbukaan Pas itu dibuktikan dengan penubuhan Jawatankuasa Mahabbah Pas-MCA pada awal Disemberi ini.
 Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar dan dianggotai oleh sebilangan pimpinan parti  daripada kalangan profesional dan agamawan.
 “Pas boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja  bagi memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini, tapi  juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat  Malaysia serta memastikan keharmonian antara semua kaum,”katanya.
 Dong Zong dan Jia Zong baru-baru ini berkata mereka setuju agar isu  pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan  melalui dialog.
 Dalam kenyataan bersama kedua-dua persatuan itu mengakui bersedia  mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan,  Dr Mazlee Malik bagi menyelesaikan isu itu sebelum atau selepas 28  Disember ini.-MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/pas-sedia-berdialog-dengan-dong-zong.html