Pantun Pergi Ke Kedai Membeli Cincau
Pergi ke kedai membeli cincau bukanlah satu pantun yang baik.
Pantun yang bagus tidak kiralah dua kerat, empat kerat atau enam kerat, bukan semata-mata rima akhir sama, tapi mesti menggambarkan pembayang dan maksud.
Kita lihat contoh mudah:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Pembayang buah cempedak di luar pagar dan menggunakan galah sudah menggambarkan maksud; perbuatan mengambil buah cempedak dalam kawasan orang lain itu salah, apatah lagi menjolok buah cempedak yang berbuah rendah. Ini bukan petik buah mempelam yang berbuah tinggi.
Sesuailah dengan maksud pantun minta tunjuk ajar sekiranya ada salah silap, saya budak mentah belum banyak pengetahuan dan pengalaman.
Anak pipit jangan tak dihirau,
Gusar esok ke sarang si rimau;
Anak didik harusnya dirisau,
Gusar esok engkau yang dipisau.
Pembayang sahaja sudah menggambarkan seekor anak pipit yang masih muda hingusan, tidak tahu betul atau salah, selamat atau bahaya. Lalu membawa maksud jangan sampai kita menyesal di kemudian hari disebabkan gagal mendidik anak-anak dengan betul atas jalan lurus.
Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.
Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan binasa.
Kedua-dua pantun dua kerat ini mempunyai pembayang yang baik. Sekali baca sahaja sudah digambarkan maksud yang ingin disampaikan. Visual udang, pulut dan santan banyak membantu menterjemah pembayang dan menguatkan maksud dalam pantun.
Pergi ke kedai membeli cincau,
Nak maki cibai terkeluar lancau.
Walaupun rima akhir A-a, tapi pembayang belum mencapai tahap menggambarkan maksud. Tidak ada illah atau asbab untuk mengaitkan perbuatan membeli cincau dan makian lancau. Pantun ini tidak gramatis. Cukuplah 2/10 markah dalam peperiksaan kerana menepati ciri-ciri pantun.
Jadilah laki-laki berbudaya. Kalau mahu maki, gunakan sahaja Bahasa Melayu Tinggi. Budaya itu mestilah berbahasa dengan betul, bukan semata-mata dilihat berbudaya.
“Celaka! Rupa-rupanya segala kemusnahan berpunca daripada angkara yang dilakukan artis bedebah ini. Jangan apabila keranda dibawa, barulah air mata akan bercucuran. Eloklah kiranya kita menghantar Mukabuku penzalim ini ke alam baka sekarang.”
Iklan: Sains menulis puisi dalam Sekolah Penulisan
The post Pantun Pergi ke Kedai Membeli Cincau first appeared on AkuDarahAnakMalaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://blog.akudarahanakmalaysia.net/2021/05/pantun-pergi-ke-kedai-membeli-cincau/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+akudarahanakmalaysia+%28AkuDarahAnakMalaysia+Dot+Net%29