Panggil Orang Anjing Boleh Didenda Rm2 000 Penjara Hingga 6 Bulan Di Indonesia
Panggil Orang “Anjing” Boleh Didenda RM2,000, Penjara Hingga 6 Bulan Di Indonesia
Individu yang memanggil orang lain dengan nama-nama haiwan bakal berdepan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum 10 juta rupiah (kira-kira RM2,400), lapor Kompas.
Pakar undang-undang jenayah Universiti Trisakti, Abdul Fickar Hadjar mengesahkan bahawa memaki seseorang dengan menggunakan nama-nama haiwan, seperti “anjing” atau “khinzir” boleh dikenakan tindakan jenayah.
“Ya, itu termasuk dalam kategori jenayah pencemaran,” kata beliau ketika dihubungi media tempatan.
Beliau turut menjelaskan berdasarkan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP), sebarang penghinaan yang disengajakan, sama ada secara lisan atau bertulis di khalayak ramai atau langsung kepada orang yang dihina, boleh dihukum penjara maksimum sembilan bulan.
Dalam pada itu, Fickar memberitahu penghinaan yang tidak termasuk fitnah, sama ada dilakukan secara lisan atau bertulis boleh diklasifikasikan sebagai penghinaan ringan.
Bagaimanapun, peruntukan terkini yang akan berkuat kuasa mulai 2 Januari tahun depan merujuk kepada Perkara 436 KUHP.
Adakah umpatan secara bergurau tetap boleh didakwa?
Sejak sekian lama, beberapa nama haiwan sering digunakan sebagai makian, sama ada dalam konteks gurauan mahupun umpatan. Antara perkataan yang kerap digunakan ialah “khinzir”, “monyet” dan “anjing”.
Menurut Kompas, penggunaan kata-kata sedemikian boleh dianggap kasar dan menyinggung perasaan, bergantung kepada konteks, nada suara serta hubungan antara individu yang terlibat.
Namun, dalam situasi tertentu, nama-nama haiwan tersebut turut digunakan sekadar sebagai gurauan tanpa niat untuk menghina.
Fickar berkata, penentuan sama ada sesuatu umpatan itu bersifat gurauan atau penghinaan bergantung kepada tafsiran pihak yang menjadi mangsa.
“Persoalan sama ada ia dianggap sebagai gurauan atau tidak bergantung kepada tafsiran mangsa
“Jika ia dianggap sekadar gurauan, kemungkinan tiada aduan dibuat. Namun, jika dianggap serius, mangsa mempunyai hak untuk membuat aduan,” ujar beliau lagi.
Beliau memberitahu kesalahan tersebut tergolong sebagai ‘delik aduan’, iaitu hanya boleh diproses sekiranya mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa, sama ada kepada polis, pegawai penyiasat atau pihak berkenaan.
“Kesalahan ini merupakan delik aduan, bermaksud ia hanya akan diproses apabila terdapat aduan daripada mangsa,” jelasnya.
Sekiranya mangsa memilih untuk membuat aduan, individu berkenaan perlu mengemukakan bukti sokongan, seperti rakaman audio atau video, selain keterangan daripada saksi.
Walau bagaimanapun, kes penghinaan ringan jarang dibawa sehingga ke peringkat perundangan.
Sekalipun melalui proses undang-undang, penyelesaian tidak semestinya berakhir dengan hukuman penjara atau denda, sebaliknya sering diselesaikan melalui pendekatan keadilan restoratif (restorative justice) dengan mendamaikan pihak pelaku dan mangsa.
BACA: Ini “Top 10” Lelaki Paling Kacak & Wanita Paling Cantik 2025
BACA: Selepas 12 Tahun Menyewa, Khairul Aming Akhirnya Beli Rumah Pertama
Sumber: Kompas
The post Panggil Orang “Anjing” Boleh Didenda RM2,000, Penjara Hingga 6 Bulan Di Indonesia appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/29/panggil-orang-anjing-boleh-didenda-rm2000-penjara-hingga-6-bulan-di-indonesia/