Pandang Pertama Xiaomi Mi 9t Pro Peranti Mercu Bagi Mereka Yang Cakna Kewangan
Xiaomi Mi 9T Pro akhirnya dilancarkan di Eropah minggu ini dan adalah sebuah Redmi K20 Pro yang dijenamakan semula. Ia dilancarkan di Malaysia minggu hadapan selepas pihak Xiaomi menerima maklum balas pengguna yang kerap memohon ia dibawa masuk. Kami menerima akses awal peranti ini beberapa hari lebih awal. Adakah ini peranti mercu yang harus dimiliki tahun ini? Bagi menjawab persoalan ini artikel pandang pertama ini kami terbitkan khusus buat anda semua.
SpesifikasiXiaomi Mi 9T ProSkrin6.39″ AMOLED FHD+ 403PPIPemprosesQualcomm Snapdragon 855Cip1 X 2.84 GHz Kryo 485
3 X 2.42 GHz Kryo 485
4 X 1.8 GHz Kryo 485Cip GrafikAdreno 640RAM6GB LPDDR4xMuatan Dalaman128GB UFS 2.1Kamera Utama48-MP f/1.75 Sudut lebar
13-MP f/2.4 Ultra Ultra sudut lebar
8-MP f/2.4 Telefoto 2X zumKamera Depan20-MP f/2.2Bateri4000 mAh
(Pengecasan pantas 27WSIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)NFCYaInfra MerahTiadaKalis AirTiadaSistem ImbasanCap jari terbina dalam skrinHarga JualanRM1599 – RM1799Xiaomi Mi 9T dan Mi 9T Pro adalah peranti kembar dengan hanya beberapa perubahan kecil. Skrion 6.39″ AMOLED FHD+ yang sama digunakan semula lengkap dengan pengimbas cap jari bawah skrin serta sokongan paparan kandungan HDR10.
Skrin yang agak besar ini dipadankan pula dengan cip mercu Snapdragon 855. Saiz RAM masih lagi 6GB dengan storan sehingga 128GB. Ini ialah saiz storan maksimum kerana tiada slot untuk kad mikro SD disertakan. Hanya terdapat slot untuk dwi-SIM bersaiz nano pada peranti ini.
Kamera utama menggabungkan sensor 48+13+8 Megapixel manakala kamera swafoto pula sebesar 20-Mengapixel. Ya sekali lagi tiada perubahan pada sensor kamera di antara Mi 9T dan Mi 9T Pro. Sistem trikamera yang digunakan menyokong lensa sudut ultra lebar dan sistem zum optikal sehingga 2X. Kamera swafoto diletakkan di dalam sistem periskop yang mengambil masa sekitar satu saat untuk keluar dan masuk.
Spesifikasi kamera yang digunakan agak menarik kerana sensor utama lebih besar berbanding Mi 9 (48MP vs 40MP). Sensor untuk lensa sudut ultra lebar walau bagaimanapun lebih kecil (13MP vs 16MP) dan begitu juga berlaku pada sensor lensa zum optikal (8MP vs 12MP).
Kesemua komponen ini menyedut kuasa dari bateri sebesar 4000 mAh. Ia boleh dicas semula menggunakan pengecas 27W tetapi pengecas yang disertakan dengan setiap pembelian hanya mengecas pada output 18W. Pengecasan dilakukan menerusi port USB-C tetapi ini hanya menyokong pemindahan USB 2.0 sahaja.
Dengan kata lain Mi 9T Pro ialah sebuah Mi 9T yang kini dilengkapi pemproses kelas mercu yang paling berkuasa untuk peranti Android dengan sokongan pengecasan yang lebih pantas.
Rekabentuk
Rekaan peranti adalah sama seperti yang ditemui pada Mi 9T. Malahan apabila kedua-dua peranti diletakkan sebelah menyebelah adalah mustahil untuk membezakan kedua-dua peranti.
Peranti mempunyai panel skrin hadapan dengan bezel, dahi dan dagu yang amat nipis. Rekaan semua skrin ini menjadi kebiasaan pada 99% peranti yang dilancarkan tahun ini. Seperti Galaxy A90 dan OnePlus 9T pro, luas permukaan skrin adalah amat besar kerana tidak mempunyai sebarang takuk dan lubang kamera. Kami kerap merungut penggunaan takuk dan lubang kamera membuatkan menonton video dalam mod skrin penuh menjadi sedikit cacat. Skrin Mi 9T Pro menyelesaikan masalah ini dan hasilnya video dengan nisbah 19:9 dapat ditonton tanpa sebarang halangan.
Paparan skrin adalah tajam dan baik. Penghasilan warna amat menakjubkan dengan warna hitam yang cukup gelap. Ini ialah kelebihan skrin OLED berbanding skrin LCD. Kami tidak sempat mencuba peranti di bawah terik cahaya matahari tetapi berdasarkan pengalaman menggunakan peranti lain dengan skrin OLED, skrin masih mudah dibawa walaupun di waktu tengah hari dengan matahari sejengkal dari kepala.
Permukaan skrin juga rata tanpa sisi lengkung. Walaupun kami penggemar skrin sisi melengkung harus kami akui video dapat ditonton dengan lebih baik. Tiada masalah paparan herot kerana skrin melengkung.
Bagi menggunakan skrin tanpa cela ini, kesemua komponen kamera diubah ke dalam mekanisme periskop pada bahagian atas peranti. Secara purata kamera boleh dinaikkan dan disimpan semula dalam masa satu saat. Ini adalah masa yang agak lama jika dibandingkan dengan sistem sirip jerung pada Oppo Reno. Namun begitu inilah pengorbanan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan peranti dengan luasa permukaan skrin yang besar.
Terdapat lampu dengan kesan bunyi pada kamera hadapan setiap kali ia dibuka dan ditutup. Ia sekadar hiasan dan tidak boleh berfungsi sebagai flash. Jika anda memerlukan flash, skrin akan menyala putih bagi membolehkan gambar swafoto yang terang diambil. Anda diberikan pilihan enam audio berbeza setiap kali kamera dibuka. Jika anda mahukan ketenangan jiwa, kedua-dua audio dan lampu ini boleh dinyahaktifkan.
Terdapat sebuah lampu notifikasi di atas penutup sistem periskop ini. Sebagai peminat lampu notifikasi, kewujudannya pada Mi 9T Pro amat kami hargai kerana amat berguna terutamanya ketika mengecas. Bersebelahan kamera terdapat sebuah bicu audio 3.5mm. Di dalam dunia semakin banyak pengeluar mengikut jejak Apple membuang bicu audio, sekali lagi terima kasih Xiaomi kerana menyertakan I/O ini.
Seterusnya pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang suara dari jenis rocker. Kedua-dua tegap dan memberikan anjalan yang memuaskan apabila ditekan. Harus saya aku telah lama tidak menggunakan peranti Xiaomi. Xiaomi Mi 5 yang pernah diulas dahulu terasa seperti peranti murahan kerana kemasan yang longgar dan plastik. Tiada masalah yang sama di sini. Kualiti binaan Mi 9T Pro setanding yang ditemui pada P30 Pro, Note 10+ dan iPhone XS Max yang sedang kami gunakan.
Talam SIM, pembesar suara dan port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah. Sistem pembesar suara stereo disertakan tetapi audio dari pembesar suara bawah adalah jauh lebih lantang. Keseimbangan audio stereo tidak dapat dinikmati pada Mi 9T Pro. Kami tidak dapat pula menguji audio menggunakan fon telinga kerana ia tidak disertakan di dalam kotak serta kesuntukan masa.
Seterusnya kita ke bahagian belakang dengan panel kaca yang unik. Corak pada permukaan kaca berubah mengikut orientasi dipandang. Ia kelihatan seperti lidah api yang bergerak-gerak sama seperti yang digunakan pada Mi 9T. Panel melengkung pada bahagian sisi membuatkannya selesa dipegang di dalam tangan. Permukaan kaca ini memerangkap kotoran dengan mudah. Tetapi ini dapat diselesaikan dengan penggunaan kerangka. Kerana terdapat bonjol kamera, peranti ini tidak dapat diletakkan rata pada permukaan meja. Sekali lagi ini dapat diselesaikan dengan menggunakan kerangka.
Kesimpulan yang boleh kami berikan ialah Xiaomi Mi 9T Pro mempunyai rekaan yang setanding dengan peranti mercu lain di pasaran. Ia selesa dipegang di dalam tangan dan cukup berat sehingga tidak lagi terasa seperti peranti murahan. Kesemua I/O yang anda perlukan disertakan. Kekurangan hanya terletak pada tiadanya sebarang kemampuan kalis air dan tiada sokongan pengecasan nirwayar. Tetapi dengan harga jualan bawah RM2000, ini ialah kekurangan yang kami yakin tidak menjadi isu kepada golongan sasaran Xiaomi.
Antaramuka
Sistem operasi Android 9 Pie digunakan dengan pelancar MIUI 10. Antaramuka pelancar ini adalah seperti Marmite. Ada yang menyukainya dan tidak kurang pula yang merasakan ia antaramuka yang tidak menarik. Kami mengaku terdiri di dalam golongan yang tidak menyukai MIUI 10 kerana rekaan ikon yang membosankan, elemen yang tidak selari dengan Android Asli dan isu berkenaan paparan iklan yang dilaporkan pengguna global.
Kita tolak isu rekaan antaramuka yang subjektif ini buat seketika. Bagaimana pula tentang penggunaan? Ianya lancar dan tidak menunjukkan sebarang masalah sela masa ketika kami gunakan. Terdapat mod malam yang mengurangkan silau pada mata dan penggunaan bateri. Kesemua fungsi-fungsi penting seperti melancarkan dua aplikasi serentak, dual space, kawalan peranti menggunakan gesture dan banyak lagi disertakan. Pendek kata tiada kekurangan pada fungsi yang disokong oleh MIUI 10 cuma rekaannya sahaja yang mungkin boleh menjadi isu.
Sampel GambarBerikut ialah beberapa sampel gambar yang diambil menggunakan kamera utama, lensa sudut ultra lebar dan zum digital 2X Xiaomi Mi 9T Pro.
KesimpulanSetiap kali peranti mercu dilancarkan. kami melihat pembaca yang membandingkannya dengan apa yang ditawarkan oleh Xiaomi. Mungkin ada yang merasakan perbandingan peranti mercu premium seperti Galaxy Note 10 dengan peranti mercu mampu milik Mi 9T Pro adalah tidak adil. Di atas kertas ia bukan perbandingan epal dengan epal. Tetapi realitinya pengguna sekarang lebih memilih sebelum melakukan pembelian. Spesifikasi yang tinggi dengan pelbagai fungsi menarik disumbatkan ke dalam peranti bukan lagi kriteria utama pembelian.
Sebaliknya pengguna meletakkan harga sebagai faktor utama diikuti oleh spesifikasi dan kemampuan kamera. Untuk ketiga-tiga faktor ini Xiaomi Mi 9T Pro akan memuaskan hati pengguna. Harga jualan bermula dari RM1599 untuk 6/64GB. Ini hanya RM400 lebih mahal berbanding Mi 9T 6/64GB yang dijana cip Snapdragon 730. Ia juga RM100 lebih murah berbanding Mi 9 yang dilengkapi bateri lebih kecil (3300 mAh) dan spesifikasi kamera zum serta ultra sudut lebar yang lebih rendah.
Jika anda inginkan storan lebih besar, model 6/128GB dijual pada harga RM1799. Ini adalah harga yang boleh dikatakan amat mampu milik untuk sebuah peranti mercu. Ia adalah harga jualan peranti meru sekitar tahun 2009 kerana peranti mercu lain dijual pada harga melebihi RM3000.
Dari pengalaman menggunakan Mi 9T Pro selama sekitar dua jam, kami tidak menemui sebarang masalah besar. Kami suka apa yang kami lihat dan nantikan ulasan penuh peranti ini dalam masa terdekat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/08/pandang-pertama-xiaomi-mi-9t-pro.html