Pakatan Harapan Juga Bermasalah Cabaran Terhadap Dap
Oleh  Dr Shafie Abu Bakar 

Yang jelas dilihat dari segi politik UMNOlah parti yang paling  bermasalah, ahli-ahli parlimen dari parti ini melompat (kini 13 daripada  50), kebanyakan  dari mereka  mau masuk PH dan sebahagian daripada  mereka diterima. Tetapi dari satu segi dilihat mereka yang melompat ini  sebagai subersif dan bom jangka yang meruntuhkan PH.
 Kemasukan mereka dari satu segi memang dikehendaki oleh komponan parti  PH, sebagaimana kata Dr. Awang Pawi Pensyarah Sains Politik Universiti  Malaya dalam media letronaik 22 Disember, ``Kerana parti berkenaan mau  mengimbangkan jumlah kerusi  yang sedikit dalam PH.``  Menurutnya  komponan dalam PH perlu diperkukuh sebagai persediaan sebelum Tun  Mahathir berundur dan mengukuhkan kedudukan penggantinya yang bakal  memimpin partinya dan bagi mengukuhkan kedudukan di dalam percaturan  politik masa depan.
Exodus pelompat-pelompat parti ini sebenarnya banyak tidak disenangi  kalangan pemimpin dalam PH. Nurul Izzah meletakkan jawatan dari Naib  Presiden PKR dan Ketua Perhubungan PKR Pulau Pinang dengan alasan `Muak`  melihat perbalahan dan percaturan politik di dalam PKR sendiri dan di  dalam PH. Dia lebih senang menjadi ahli Parlimen biasa dari Permatang  Pauh yang bebas baginya mengkritik. Sikap Nurul Izzah ini disetujui oleh  bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sendiri merasai akibat  dari percaturan politik dan kepimpinan. Rafizi juga turut merasa tidak  senang, sepatutnya menurutnya tumpuan patut diberi oleh PH terhadap  janji pilihanraya PH yang banyak tidak tertunai. Tentang janji  pilihantraya ini pihak pemimpin tertinggi pernah menyatakan tidak  mungkin ditunai sepenuhnya, apa lagi negara berhutang dan kekurangan  dana, tetapi tentang hutang satu trilion itu sudah tidak diulangi lagi.
Tentangan terhadap kemasukan pelompat-pelompat  parti ini, menyebabkan  PH, akibat tekanan membuat syarat bagi penerimaan, iaitu keluar parti  menjadi ahli bebas, menunggu idah dan penilaian. Ini bererti  kecenderungan untuk menerima tetap ada, walau ada bangkangan.
Bangkangan yang paling kuat ialah datangnya dari DAP. Lim Kit Siang  Pemimpin Utama DAP pada Rabu 19 Disember, mengeluarkan amaran, bahawa  DAP tidak teragak-agak untuk  menarik keluar DAP dari PH, sekiranya  objektif dan matlamat yang dihasratkan `Kerajaan Baharu` melalui PH  diseleweng dan tidak tercapai. Tentang amaran keras DAP  ini, pihak  wartawan telah mengemukakan amaran DAP  ini kepada Tun Mahathir. Tetapi  pertanyaan  oleh wartawan media letronik, tidak mau dijawab oleh Tun  Mahathir (22.12.2018).
Terbaru, isu ini ditimbulkan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar  Abdullah, beliau mencabar Lim Kit Siang bagi membuktikan keberanian DAP  keluar dari PH, jika objektif Malaysia Baharu tidak tercapai seperti  disuarakan oleh Lim Kit Siang. Bagi Nik Amar, katanya, ``Bagi saya lebih elok dia keluar sebab dengan  adanya DAP dalam kerajaan banyak menyusahkan kerajaan PH,`` kata Nik  Amar. (Sinar, 23 Disember 2018: 1).
Sesungguhnya banyak pihak mahu melihat apakah gelagat dan jawapan  DAP   mengenai isu ketidakpuasan hati, khususnya pemimpin-pemimpin komponan  parti di dalam PH.
Kini isu kemasukan pelompat-pelompat parti dari UMNO untuk menyeberang  kepada PH menyebabkan berlaku perpecahan pendapat dari pemimpin-pemimpin  parti di dalam PH. PKR dan DAP yang mempunyai jumlah kerusi parlimen  terbanyak (50 & 42 kerusi) tidak menyenangi, bahkan tidak bersetuju  dengan kemasukan para pelompat yang dijangka akan merubah imej dan  identiti perjuangan PH.
Manakala Bumiputera Bersatu dan Amanah yang lebih senyap cenderung untuk  menerima mereka bagi menambahkan kerusi masing-masing yang agak sedikit  (14 & 11). Persoalan ini akan membawa lebih luas perpecahan dalam  PH. Sementara itu sindrom lompat parti mulai reda dan mereka yang telah  keluar, tetapi belum diterima ke dalam PH, terkapai-kapai, ibarat `  orang hanyut`  yang mencari lindungan dan ihsan dari pihak yang mau  menerimanya ! Sekian.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/pakatan-harapan-juga-bermasalah-cabaran.html