P Ramlee Bawa Sophia Ke Pentas Nyanyian
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Sophia Ibrahim mengikut jejak arwah datuk, Aman Belon yang juga pelakon bangsawan pada era 1950-an, manakala Allahyarham Hussin Abu Hassan pula bapa saudaranya.
KUALA LUMPUR: Biarpun hanya menerima bayaran RM70 untuk persembahan pentas, bintang veteran, Sophia Ibrahim, 72, tetap puas dapat menghiburkan sambil bertemu peminat.
Suatu ketika dahulu, kakak kepada penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latif Ibrahim itu sering menjelajah mengadakan persembahan bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham AR Tompel, Allahyarham Mak Minah serta ramai lagi hingga ke ceruk kampung.
Bintang kelahiran Singapura itu berkata, dia mula menyanyi selepas bertemu dengan P Ramlee sewaktu berkerja di bawah bumbung Merdeka Film Productions.
"Saya mula menyanyi pada usia 17 tahun. Awalnya, menyanyi hanya sekadar untuk suka-suka pada majlis orang kahwin. Biasanya, saya menerima bayaran antara RM30 hingga RM40 untuk satu persembahan.
"Perjalanan saya dalam bidang seni bermula sebagai pelakon. Selepas menyertai Merdeka Filem Productions, saya berkenalan dengan P Ramlee. Allahyarham bertanggungjawab membawa saya ke dunia nyanyian.
"Bagaimanapun, pembabitan saya dalam dunia seni mendapat tentangan arwah bapa. Arwah kurang bersetuju kerana kelab malam menjadi tempat orang berjudi dan minum arak. Tetapi, P Ramlee memberanikan diri bertemu dengan arwah dan menasihatinya tidak menghalang minat anak.
"Selepas itu barulah arwah mengizinkan saya bergelar penyanyi," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, sepanjang bergelar penyanyi, Sophia tidak pernah memiliki album mahupun merakamkan lagu, sebaliknya hanya menyanyi untuk kelab malam dan persembahan terbuka.
Pada usia 70-an, Sophia berkata, dia masih menerima undangan menyanyi termasuk ke Sabah. Malah, bayaran diterima juga memuaskan hati, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, minatnya terpaksa dipendam buat seketika.
Sophia Ibrahim bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika membintangi filem Dr Rushdi pada 1970.Mengimbau perjalanannya dalam dunia seni, Sophia yang juga anak sulung daripada 10 beradik berkata, sememangnya darah seni sudah mengalir dalam tubuhnya kerana arwah datuk, Aman Belon adalah pelakon bangsawan pada era 1950-an, manakala Allahyarham Hussin Abu Hassan pula bapa saudaranya.
"Saya sering mengikuti bapa saudara, arwah Hussin ke lokasi penggambaran di Merdeka Film Productions. Oleh kerana selalu berada studio, saya ditawarkan untuk berlakon oleh pengurus studio.
"Gaji permulaan hanya RM400. Bagi saya, jumlah berkenaan sudah dikira banyak ketika zaman itu.
Tambahan pula, keluarga saya orang susah, jadi saya seronok dapat gaji sebanyak itu.
"Jujurnya, saya tidak pernah berhasrat menjadi penyanyi. Saya bercita-cita menjadi setiausaha, tetapi siapa sangka rezeki saya dalam bidang seni. Teman sekolah pula menyangka saya akan bergelar ustazah kerana saya mengikuti pengajian bahasa Arab di sebuah sekolah di Gombak.
"Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu luar biasa kerana datuk saya memiliki darah seni," katanya.
Biarpun sudah lebih lima dekad mengatur langkah dalam bidang lakonan dan nyanyian, ternyata pelakon yang pernah memegang watak utama menerusi filem Dajjal Suci, Dr Rushdi, Ragam P Ramlee serta beberapa filem lain masih belum berhasrat meletakkan titik noktah pada kerjaya seninya.
Beliau yang kini menetap bersama anaknya di Terengganu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Juliet sebanyak 28 episod terbitan Zeel Production.
Bintang kelahiran Singapura, Sophia Ibrahim mula menyanyi selepas bertemu dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sewaktu berkerja di bawah bumbung Merdeka Film Productions.Sophia yang masih sihat berkata, usianya bukan muda, jadi agak selektif menerima tawaran dan hanya akan bersetuju jika tawaran berbaloi.
"Alhamdulillah, anak-anak tidak pernah menghalang minat saya. Mereka tahu saya bergelar pelakon dan penyanyi sejak muda. Cuma, saya bukan muda lagi, jadi hanya akan terima tawaran yang dirasakan berbaloi.
"Bagaimanapun, antara lakonan dan nyanyian, saya lebih sukakan nyanyian kerana tidak memenatkan berbanding berlakon kerana terpaksa menunggu lama di lokasi. Pada usia begini, dapat menjayakan dua persembahan sebulan pun sudah memadai, tetapi disebabkan COVID-19 semua aktiviti terhenti," kata ibu kepada empat cahaya mata, 11 cucu dan dua cicit.
Ibu kepada penyanyi Hairi Kool itu berkata, dia gembira kehadirannya dalam industri tidak dipandang sepi oleh generasi baharu. Bagaimanapun, dia tidak akan berkrompomi jika berdepan dengan artis yang tidak tahu menghormati orang tua.
"Setakat ini, boleh dikatakan sebahagian artis muda tahu menghormati pelakon lebih berusia. Cuma, saya pantang melihat artis tidak pandai menghormati orang. Jika ditakdirkan berjumpa dengan artis seperti ini, saya tidak akan beri muka, sebaliknya akan menegur secara berdepan.
"Bagi saya, orang sebegitu belum layak menjadi artis. Saya tidak boleh tahan dengan sikap artis yang tidak menjaga disiplin seperti datang lewat ke lokasi.
"Saya cukup tidak berkenan jika 'call time' jam 9 pagi, tetapi masa itulah baru nak bersolek. Saya tak segan menegur supaya tidak menyusahkan orang lain," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/p-ramlee-bawa-sophia-ke-pentas-nyanyian.html