Ngo Lapor Polis Himpunan Haram Baju Hitam Bimbang Muncul Kluster Baharu
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Wakil NGO bersama peguambela dan  peguamcara yang mewakili mereka Kamarudin Ahmad (tengah) menunjukkan  salinan laporan polis yang dibuat terhadap penganjur #Lawan, hari ini.
									 							 					 						Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan  polis terhadap perhimpunan baju hitam pada Sabtu di ibu negara, sambil  mendesak tindakan tegas diambil terhadap penganjur yang melanggar  prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peguam bela dan peguam cara yang mewakili NGO berkenaan Kamarudin  Ahmad membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi  kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan tegas tanpa  sebarang kompromi terhadap penganjur demonstrasi berkenaan kerana  berkumpul dan tidak mematuhi penjarakan fizikal.
“Kehadiran begitu ramai peserta bakal mewujudkan risiko kluster perhimpunan,” katanya kepada media selepas membuat laporan itu.
Lima NGO berkenaan adalah Persatuan Anak Melayu Johor; Gabungan NGO  1Malaysia; Pertubuhan Sosial dan Minda Prihatin; Dewan Perundingan NGO;  dan Pertubuhan Salam Budi.
Kamarudin berkata NGO berkenaan juga kecewa dengan sikap tidak  bertanggungjawab pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara  Rakyat Malaysia (Suaram) yang berdiam diri berhubung tindakan peserta  demonstrasi yang melanggar PKP.
“Pada saat negara dilanda Covid-19 dan kerajaan sedang memerangi  wabak tersebut perhimpunan #Lawan mengancam ketenteraman awam. Kami  mohon pihak polis ambil tindakan tegas ke atas pihak penganjur  perhimpunan #Lawan dan pastikan tidak berulang lagi sebarang perhimpunan  yang melanggar PKP,” katanya.
Bagaimanapun ketika wartawan hendak mengemukakan soalan kepadanya,  sidang media itu diganggu oleh individu yang dipercayai mewakili  kumpulan baju hitam apabila membangkitkan isu perhimpunan oleh pemimpin  kerajaan.
Kamarudin bagaimanapun ketika menjawab soalan wartawan berkata orang  ramai sangat bimbang dengan perhimpunan itu yang boleh mencetuskan  peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19.
“Sebab itu kita sebagai orang awam dan NGO tidak mahu perkara  sedemikian (demonstrasi) berterusan. Janganlah jika tidak ada tindakan  daripada pihak polis akan wujud lagi kumpulan yang akan membuat  perhimpunan. Sampai bila kita nak kena kurung? Kita akan terus kena  kurung selagi angka Covid-19 tidak turun,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, perarakan #Lawan itu jika tidak  mempunyai permit dan kebenaran polis ianya sama seperti perhimpunan  haram dan melanggar Akta Perhimpunan Aman.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ngo-lapor-polis-himpunan-haram-baju.html