Neelofa Ke Langkawi Atas Urusan Kerja
Safeek Affendy Razali
Antara gambar yang tular memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi. KUALA LUMPUR: Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberi kebenaran kepada selebriti Neelofa dan tiga yang lain untuk bergerak ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan untuk berbulan madu.
Berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain adalah atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April ini.
"Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.
"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya kepada BH, hari ini.
Basri berkata, berdasarkan jadual pergerakan. lokasi yang akan dituju empat penama terbabit termasuk Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, adalah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.
"Mereka dijadual tiba di Langkawi pada 29 Mac dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.
"Justeru, saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu," katanya.
Beliau berkata, sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sejak semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, berada di Langkawi tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.
Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/neelofa-ke-langkawi-atas-urusan-kerja.html