Nasib Baik Tidak Terpedaya Dengan Si Penipu
Ambo baharu sahaja dihubungi penipu. Kononnya ambo ada membuat tuntutan insurans rawatan di hospital di Ampang. Ambo jawab memang ada .... maka pemanggil itu terus letak telefon.
Sebenarnya, beberapa hari sebelum ini ada panggilan yang serupa. Bezanya hanya nama syarikat insurans. Pada panggilan pertama, ambo jawab tidak ada membuat tuntutan tersebut. Ada tiga tuntutan katanya.
Ambo sudah menghidu itu sindiket penipuan. Sekadar melayan apa yang ingin dijelaskan. Katanya, memandangkan ambo tidak membuat tuntutan, maka dikatakan ini bermakna ada pihak lain telah menyalahgunakan polisi insurans ambo.
Untuk itu katanya, ambo perlu membuat laporan polis dengan segera di Ibu Pejabat Polis Ampang. Mesti dilakukan dengan segera dalam tempoh masa satu jam. Pihak syarikat dikatakan sudah menyediakan beberapa dokumen yang perlu ambo serahkan kepada pihak polis ketika membuat laporan nanti.
Ambo jawab, mana mungkin dapat buat laporan polis dalam tempoh masa satu jam. Ambo di Kelantan. Memanglah, penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengambil masa sejam, tetapi itu tidak mengambil kira proses tempahan tiker, hendak pergi ke lapangan terbang, dari lapangan terbang hendap pergi ke balai polis dan sebagainya.
Disebabkan ambo tidak mungkin sempat (memang sindiket tahu rancangan satu perkara yang tidak mampu mangsa lakukan), maka pemanggil itu kata dia perlukan beberapa maklumat tentang diri ambo.
Ambo kata, ambo akan hubungi sendiri polis di Ampang, kononnya pegawai di sana rakan ambo. Dia jawab, kalau ambo hubungi sendiri, laporan itu tidak dapat dibuat kerana memerlukan maklumat dari syarikat insurans.
Ambo kata, kalau begitu berilah maklumat tersebut kepada ambo. Si penipu jawab, ia dalam bentuk surat dan perlu diserahkan kepada polis.
Ambo buat keputusan, kalau begitu ambo tidak akan buat laporan polis segera, mungkin pada hari lain akan pergi ke balai polis.
Si penipu kata, kalau tidak buat laporan dalam tempoh satu jam seperti yang ditetapkan, polisi insurans ambo akan ditamatkan dan mungkin ambo akan disaman oleh pihak syarikat insurans kerana membuat tuntutan yang tidak wajar.
Ambo tegaskan, kalau hendak tamatkan polisi insurans, ambo tidak kisah. Boleh buat insurans baharu. Sebenarnya, kebetulan memang ambo ada insurans hayat dengan syarikat yang disebutkan itu. Sedangkan panggilan hari ini ambo tidak ada polisi insurans dengan syarikat berkenaan.
Berkaitan kemunginan ambo disaman syarikat insurans, ambo kata mana mungkin begitu, kerana bukan ambo yang buat tuntutan itu. Si penipu menjelaskan bahawa perkara itu boleh dibuat dan biar mahkamah tentukan. Kalau begitu, ambo kata kita jumpa di mahkamah nanti.
Si penipu kemudian mengatakan bukan dasar syarikat untuk menyusahkan pemegang polisi. Bahkan katanya, jika ambo mengatakan memang ambo yang membuat tuntutan itu, syarikat akan meluluskan tuntutan berjumlah RM60,000 lebih.
Ambo kata, kalau begitu luluskan...... si penipu kemudian terus memutuskan talian. Ambo lihat rekod masa panggilan kira-kira 8 minit.
Jadi berhati-hatilah semua, jangan jadi mangsa. Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon individu yang tidak dikenali dan buat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan sebelum membuat keputusan atau transaksi pemindahan wang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lokmanismail.blogspot.com/2022/12/feg.html