Nasi Lemak Kambus Taiping
AHAD | 23.01.2022
Cuti hujung minggu, encik suami ajak berjalan-jalan ke Taiping, Perak. Tak begitu jauh dari rumah kami di PP, pemanduan sekitar 1 jam 15 minit sahaja. Destinasi utama kami - Taman Tasik Taiping. Suatu masa dulu pernahlah juga kami ke Taiping, tapi tak sampai ke Taman Tasik Taiping
Sebelum pergi, saya buat carian di Facebook berkenaan tempat makan sarapan sedap di Taiping. Saya pilih salah satu nama kedai yang dicadangkan oleh warga maya iaitu Nasi Lemak Kambus
Kami tiba di kedai Nasi Lemak Kambus menghampiri pukul 9 pagi. Orang tak begitu ramai, kami masih dapat ruangan parkir berhampiran dan boleh memilih meja makan
Kami pilih duduk di ruangan luar tepi kedai. Rasa lebih lapang dan seronok dapat melihat pokok-pokok tanaman yang nampak dijaga baik oleh pemilik kedai. Di atas meja tersedia buku menu berserta borang pesanan dan pensil. Ada 6 menu pilihan semuanya. Kami pilih Nasi Lemak Kambus dan Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah.
Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah pilihan suami. Lepas dapat hidangan kami ni, terdengar orang kedai kata “Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah dah habis..” kepada seorang pelanggan. Cepat betul habisnya, mungkin ramai yang dah datang lebih awal atau bungkus bawa pulang. Memang saya nampak ramai juga yang beli bungkus dalam kuantiti yang banyak
Nasi Lemak Kambus pilihan saya. Apa tu nasi lemak kambus? Nasi lemak yang dibungkus dengan telur dadar, dihidang bersama sambal ikan bilis, kacang, hirisan timun dan opak. Sedap dan memuaskan selera
Menu Nasi Lemak Kambus ni cuma ada pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hari lain ada menu biasa sarapan pagi seperti nasi lemak dan roti canai.
Kalau nak ke sini, buat carian di Google Maps ‘Nasi Lemak Kambus’. Lokasinya bersebelahan Muzium Perak. Kawasan parkir agak terhad. Waktu operasi bermula 7.30 pagi - 12 tengah hari.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/01/nasi-lemak-kambus-taiping.html