Nak Ambil Parti Ambillah Syed Saddiq Tak Akan Lengahkan Usaha Singkirnya Dari Bersatu
MALAYSIAKINI

Ketua  Pemuda Bersatu (Armada) yang dipertikai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  berkata beliau tidak akan melengah-lengahkan lagi langkah untuk  menyingkirkannya daripada parti itu, maka akan menarik balik saman sivil  terhadap pemecatannya.
"Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau  nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan  melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.
"Saya juga akan menarik semula saman sivil terhadap kes pemecatan keahlian saya dalam Bersatu
"Apabila  khidmat saya dalam Bersatu dan Armada tidak diperlukan lagi, sudah tiba  masanya untuk saya pergi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bersatu  mengisytiharkan keahlian Syed Saddiq dan beberapa lagi anggota Parlimen  yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai terbatal kerana duduk di  bahagian pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Mahathir,  yang kedudukannya sebagai pengerusi Bersatu juga dalam pertikaian, kini  dalam pergelutan kuasa dengan presiden Muhyiddin Yassin.
Hari ini, Armada mengumumkan naib ketuanya Aizad Roslan dilantik sebagai pemangku ketua.
Selain  itu, Rafiq Hakim Razali akan digantikan dengan Fairuz Renddan bagi  jawatan penolong bendahari, dan Ulya Aqamah Husammuddin digantikan  dengan Izhar Shah Ariff Shah bagi jawatan ketua penerangan.
Syed  Saddiq yang juga anggota Parlimen Muar tidak mendedahkan rancangannya  yang seterusnya, namun berkata ia akan "berpaksikan negara dan anak  muda".
"Saya faham jalan ini bukan senang... Mereka yang sama  haluan juga akan terima nasib yang sama, diugut kiri kanan, disingkirkan  jawatan dan dibuang jauh-jauh," katanya.
Bagaimanapun, katanya,  perlu difahami parti politik adalah "kenderaan" untuk menjaga negara dan  rakyat, bukan untuk kepentingan individu dan mencapai kemewahan.
Beliau berkata akan sentiasa menghargai pengalaman yang diraihnya sepanjang di dalam Armada dan Bersatu
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/nak-ambil-parti-ambillah-syed-saddiq.html