Najib Cuba Ditabalkan Jadi Pengerusi Bn
Bekas perdana menteri Najib Tun Razak berpeluang mencabar rekod Tun Mahathir menjadi PM dua kali sekiranya BN menang pilihan raya umum ke 15
Hal tersebut bukan mustahil apabila timbul dakwaan percubaan serius beberapa pemimpin mahu menabalkan Najib sebagai pengerusi BN dan memberi laluan mudah untuk beliau diangkat sebagai PM.
Beberapa sumber dalaman yang dipetik portal The Malaysian Insight memberitahu usaha tersebut digerakkan oleh individu yang dekat dengan Najib dan rancak digiatkan di luar Perhimpunan Agung Umno 2019 yang berlangsung minggu lalu, antara 4 hingga 7 Disember.
Menurut sumber, sepanjang perhimpunan itu individu yang rapat dengan Najib menganjurkan siri pertemuan bersama pemimpin sayap parti dan ketua bahagian. Pertemuan itu berlangsung sebagai acara makan tengah hari dan makan malam bersempena Perhimpunan Agung Umno.
Sesetengah mereka yang hadir majlis itu mendakwa menerima RM400 dan RM5,000 daripada “orang Najib” pada pertemuan tersebut.
Seorang sumber dari Pemuda Umno yang menghadiri majlis makan malam tersebut berkata mereka dimaklumkan bahawa Najib mahu berjumpa.
“Tiada masalah… tetapi selepas itu, masa dalam program, juruacara berita yang ketua-ketua pemuda ini bersetuju untuk Najib jadi pengerusi BN.
“Ramai yang datang itu terkejut dan majoriti tidak setuju. Rasa macam kena main.
“Tetapi hendak jaga air muka Najib, kita tunggulah sehingga selesai majlis,” kata sumber yang hadir yang dalam perjumpaan makan malam bersama Najib di Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra, tempat perhimpunan parti berlangsung.
Sumber berkata, rata-rata pimpinan Pemuda Umno kurang senang dengan usaha tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan pengerusi BN di peringkat bahagian.
The Malaysian Insight difahamkan sebelum ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan kepada Najib untuk mempengerusikan semula BN namun pimpinan tertinggi BN hanya bersetuju supaya bekas perdana menteri dilantik sebagai penasihat parti.
“Zahid mungkin pernah tawar dulu tetapi BN sudah putuskan (Najib) jadi penasihat. Janganlah ada gerakan pula hendak desak presiden lepaskan jawatan pengerusi BN.
“Najib kalau hendak kembali, masuklah gelanggang balik. Tunggu pemilihan akan datang. Kita kena ajar ahli-ahli kita wala’ (setia) kepada pemimpin,” kata sumber, yang mendedahkan perkembangan itu dengan syarat tidak dinamakan.
Pada penghujung program, “orang Najib” memberikan kepada mereka yang RM400 seorang melalui ketua Pemuda Umno negeri, tambah sumber.
“Masa hendak balik ada orang Najib bagi sampul kepada ketua-ketua Pemuda Umno negeri, seorang dapat RM400,” katanya.
Perkara sama berlaku dalam pertemuan yang diatur dengan Wanita dan Puteri Umno, yang berlangsung sehari selepas program bersama Pemuda Umno.
Sumber dari Wanita dan Puteri yang dihubungi The Malaysian Insight turut memberitahu mereka juga menerima wang RM400 kerana hadir pada program itu.
Namun kedua-dua sumber menegaskan semasa pertemuan mereka, tidak berbangkit soal hendak melantik Najib sebagai pengerusi BN.
“Dalam perjumpaan dengan Wanita, tidak ada timbul cerita untuk dapatkan sokongan ini. Dari pegawai-pegawai Najib pun tidak ada (cerita ini).
“Tetapi yang duit RM400 itu memang kita ada dapat.
“Najib cuma beritahu apa yang berlaku keadaan sekarang ini, gerak kerja dia, dia ucap terima kasih kepada Wanita sebab selalu datang mahkamah beri sokongan,” kata sumber yang juga ketua Wanita Umno di peringkat bahagian.
Seorang ketua Puteri Umno bahagian juga memberitahu semasa majlis yang dihadirinya beliau tidak mendengar soal Najib hendak diangkat sebagai pengerusi BN.
Bagaimanapun katanya hanya selepas program berakhir beliau dapat tahu wang tersebut merupakan usaha untuk untuk mendapatkan sokongan kepada Najib.
“Kalau hendak bantu tidak ada masalah tetapi kalau di sebalik itu ada tujuan lain, memang tidak betullah.
“Kita sudah kalah (pilihan raya), kenapa kita hendak mula balik budaya beri duit (untuk dapat sokongan) ini,” katanya, yang mengaku tidak selesa dengan pemberian tersebut.
Sementara itu, seorang ketua Umno bahagian memberitahu “orang Najib” turut memberi wang sebanyak RM5,000 kepada ketua-ketua bahagian dalam pertemuan bersama akar umbi itu.
“Kita (ketua bahagian) diberikan RM5,000. Bila sudah beri duit, apalagi kalau bukan hendak mendapatkan sokongan.
Dalam pada itu,Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan maklum mengenai siri pertemuan itu bagaimanapun menafikan ada kempen untuk mendapatkan sokongan kepada Najib.
“Sayap-sayap mengadu kepada Najib untuk bantuan. Najib kata daripada segi kewangan dia tidak mampu kerana hendak bayar duit peguam dan sebagainya. Jadi dia cuba bercakap dengan kawan-kawan dia yang pernah bantu dulu agaknya,” katanya.
Jamal kesal apabila bantuan tunai tersebut disalah erti dan dijadikan polemik kononnya Najib sedang mencari sokongan daripada pemimpin Umno.
“Pemuda tidak wajar bantai Najib. Yang jumpa hari itu ada 150 orang. Dalam perjumpaan itu, Najib tidak sentuh soal melobi, pemuda kena sokong dia untuk jadi pengerusi BN.
“Apa yang dia kata itu hanyalah semangat, perjuangan. Kalau juruacara yang sebut, seranglah dia, kenapa serang Najib?” soalnya.
Mengenai kedudukan pengerusi BN, Jamal berkata tawaran untuk memegang jawatan tersebut dibuat oleh Zahid sendiri ketika beliau kembali menjalankan tugas sebagai presiden parti pada hujung Jun lalu.
“Saya saksi, Najib tidak minta apa-apa jawatan pun, beliau ditawarkan. Apabila Zahid kembali menjalankan tugas presiden Umno, dia yang tawar kepada Najib.
“Dia minta Najib bantu dalam BN untuk lebih berkesan sebagai pembangkang. Saya bukan bantai Zahid tetapi menerangkan apa yang berlaku.
“Tetapi apabila keluar cerita seolah-olah Najib pula yang terhegeh-hegeh hendak jawatan, macam pemuda cakap ‘salam RM400’, apa semua ini,” soalnya.
Jamal bagaimanapun berkata tidak salah kalau kedudukan itu diberikan kepada Najib kerana beliau ada kemampuan dan konsisten menerangkan isu-isu rakyat.
“Beliau berkemampuan dan terbukti layak kerana ada aura dan banyak perkara yang beliau gerakkan.
“Mungkin ada yang bimbang kebangkitan dia ini menggugat orang di bawah beliau dulu,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/25773