Myanmar Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Walaupun Myanmar masih di bawah pemerintahan junta, hati saya tetap bersama mereka yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.
Ramai pengembara bimbang untuk ke Myanmar kerana keadaan yang tidak menentu, lebih-lebih lagi sekarang apabila negara itu dilanda bencana sehingga junta terpaksa meminta bantuan dari luar.
Setakat ini, saya belum mendengar sebarang negara ASEAN yang akan menghantar bantuan.
Mungkin ini kerana rejim tentera Myanmar kurang berhubung dengan pemimpin negara luar, termasuk rakan-rakan ASEAN, dan lebih rapat dengan kepimpinan China.
Sebelum ke Myanmar, saya pernah menghantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia di Yangon untuk bertanya mengenai keselamatan pelawat.
Mereka membalas dengan nasihat agar saya lebih berhati-hati dan mengelakkan perjalanan ke Mandalay.
Namun, saya tetap berdegil dan meneruskan perjalanan ke Mandalay dari Bagan dengan menaiki sebuah kereta sewa prebet sapu dengan bayaran USD100.
Sepanjang perjalanan, banyak sekatan jalan raya dan yang paling merisaukan, ramai askar Myanmar kelihatan mabuk.
Sama seperti di Mesir, apabila pemandu ditahan untuk soal siasat yang berpanjangan, faham-fahamlah apa yang perlu dilakukan.
Dari Bagan ke Mandalay, kami melalui banyak sekatan jalan tentera yang lengkap bersenjata berat.
Saat paling mencemaskan berlaku di Bagan apabila kereta di hadapan kami dipaksa berhenti dan diserbu oleh empat lelaki bersenjata rifel Kalashnikov.
Mereka berpakaian biasa, t-shirt dan seluar pendek dan keluar dari sebuah kenderaan Pajero dan menghunus senjata kepada penumpang.
Pemandu pelancong kami memberitahu bahawa mereka adalah anggota tentera yang menyamar untuk melakukan pemeriksaan mengejut.
Mereka tidak memakai pakaian seragam kerana takut diserang hendap oleh gang pemisah.
Dalam perjalanan ke Mandalay, pemandu kami memilih untuk mengelak beberapa pekan kerana pertempuran sedang berlaku antara tentera dan kumpulan bersenjata.
Pemandu Myanmar tersebut tidak sanggup pulang ke Bagan dari Mandalay pada waktu malam kerana risiko diserang hendap.
Ia mengingatkan saya kepada pengalaman di Turkiye, apabila pemandu kami memecut laju kerana bimbang kenderaan kami menjadi sasaran sniper Kurdish di zon konflik.
Myanmar adalah sebuah negara yang kaya dengan sejarah, tetapi konflik berterusan telah menjadikannya miskin. Kini, dengan bencana gempa bumi yang dahsyat, nasib rakyatnya semakin teruji.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: Zainuddin Omar
* gambar curi askar Myanmar memeriksa kenderaan kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/03/myanmar-sudah-jatuh-ditimpa-tangga.html