Muhyiddin Pm Paling Lemah Penakut Tapi Kuat Berpolitik
Sempena 100 hari Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada 9 Jun lalu, ternampak begitu banyak puji-pujian dan sanjungan yang sengaja direka dikalungkan terhadapnya
Terutama media arus perdana, pengampu dalam media sosial, pensyarah universiti dan tidak terkecuali pemimpin Pas, mereka dilihat bukan main gigih lagi memberi pujian kepada Muhyiddin
Terlihat pujian dan sanjungan terhadap Muhyiddin ini melebihi apa yang pernah diterima oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini ketika mereka melepasi tempoh 100 hari memegang jawatan tersebut
Tak tahulah, mungkin kerana kedudukan Muhyiddin yang tidak begitu stabil dan cara beliau menjadi Perdana Menteri pula tidak mengikut normal yang sepatutnya, bak kata Duta ke Timur Tengah bertaraf menteri – ikut tebuk atap – maka pujian dan sanjungan sebegitu rupa sengaja diolah untuk menenggelamkan ketidakstabilan yang ada
Ada yang mengatakan dalam tempoh 100 hari ini Muhyiddin telah berjaya mengemudi negara dengan cemerlang, tidak berpolitik, hanya fokus kepada rakyat, layak diberikan markah A, rakyat lebih gembira dan bermacam-macam lagi kata-kata pujian yang tentunya mampu membuatkan songkok di kepalanya jadi lebih ketat daripada biasa
Cuma yang agak sedikit musykil, tidak ternampak ada pemimpin UMNO turut ghairah memberi pujian kepada Muhyiddin berbanding rakan daripada Pas yang baru merasa nikmat jawatan dalam kerajaan
Tetapi, jika kita jujur dan benar-benar melihat menggunakan kaca mata atau teropong yang putih bersih, bukan disaluti limpahan duniawi bertaraf menteri, benarkah Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang boleh dikira berjaya dan layak diberi markah A
Benarkah juga beliau seorang Perdana Menteri yang tidak berpolitik dalam tempoh 100 hari, sebaliknya hanya mengutamakan rakyat semata-mata
Hakikat paling nyata ialah Muhyiddin belum teruji lagi kedudukannya kerana sejak menjadi Perdana Menteri, beliau bukan saja mengelak untuk mengadakan sidang Parlimen, malah tidak pernah sama sekali berdepan wartawan secara langsung
Dengan itu, kita tidak tahu sama ada beliau benar-benar ada sokongan majoriti atau sebaliknya
Lantaran tidak berani mengadakan sidang Parlimen, malah menangguhkan daripada 9 Mac kepada 18 Mei, kemudian menangguhkan sekali lagi kepada 13 Julai depan, itu pun belum dipastikan sama usul undi tidak percaya akan dibenar dibentang atau terus dihalang, tanggapan mudah ialah beliau masih tidak cukup sokongan di dalam Parlimen
Jika benar sudah ada sokongan, kenapa mesti menangguh-nangguhkan sidang Parlimen
Walaupun sudah 100 hari memegang kuasa, Muhyiddin juga satu-satunya Perdana Menteri yang tidak pernah berdepan secara langsung dengan wartawan
Beliau hanya berani muncul melalui perutusan khas beberapa kali di depan kamera dan tanpa pertanyaan wartawan kemudiannya
Walaupun Covid-19 mungkin merupakan alasan beliau tidak menghadiri pelbagai majlis yang dihadiri wartawan, tetapi tidak ada salahnya pun jika beliau bertemu media, misalnya setiap kali selepas menyampaikan perutusan khas, asalkan penjarakan sosial sentiasa dijaga
Soalnya, kenapa setelah lebih 100 hari masih lagi tidak ada ruang untuk wartawan bertanya soalan secara langsung kepadanya
Kalau ada sidang media, dapatlah kita menyaksikan sama ada beliau benar-benar petah dan mampu menjawab soalan wartawan, antaranya berkaitan kedudukan dirinya, kedudukan kerajaan yang diketuainya, serangan pembangkang, hubungan dengan UMNO dalam PN, bila PN akan didaftarkan, kewangan negara, program jangka panjang untuk rakyat pasca Covid-19 dan berbagai lagi
Daripada situ, barulah kita boleh melihat sama ada Muhyiddin layak diberi markah A atau tidak
Sekarang ini, bukan saja semua persoalan itu tergantung tanpa jawapan daripada mulut Muhyiddin sendiri, beliau juga tidak menampilkan sesuatu yang meyakinkan dan jelas untuk membawa negara ini ke arah mana dalam tahun-tahun mendatang selepas ini
Asyik duduk di pejabat saja, kemudian balik ke rumah dan tidak mendedahkan perancangannya, maka kita semua jadi kabur mengenai hala tujunya sebagai ketua kerajaan
Sebagaimana kita kabur mengenai sokongan yang ada di belakangnya, begitulah juga kita kabur sebenarnya tentang hala tujunya
Benarkah beliau seorang yang menjaga kepentingan rakyat turut tidak diketahui dengan jelas kerana dengan banyak duduk di pejabat, yang terpapar hanyalah keghairahannya melantik Ahli-Ahli Parlimen mengetuai GLC, menyusun lantikan politik melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu serta menyingkirkan musuh-musuh politiknya, termasuk Tun Mahathir Mohamad yang merupakan pengasas parti itu
Jadi, siapa kata dalam tempoh 100 hari ini Muhyiddin tidak berpolitik
Memang beliau tidak banyak, malah hampir tidak ada bercakap tentang politik, tetapi semua tindakan dan kerjanya daripada pejabat lebih banyak melibatkan unsur-unsur politik dan mengukuhkan kedudukan berbanding kerja hakikinya sebagai Perdana Menteri di sebalik dalam masa yang sama berlagak suci dengan mengatakan rakyat muak dengan cerita-cerita politik
Melalui kaca mana apa sehingga pemimpin Pas sanggup mengatakan rakyat kini lebih gembira di bawah kepimpinan Muhyiddin
Siapa yang gembira – rakyat, pengampu dan penyokong Muhyiddin atau Pas kerana baru banyak diberi jawatan dalam GLC serta Senator
Meskipun dengan bantuan kuasa sebagai Perdana Menteri yang ada dalam genggamannya, tindakan-tindakan politik Muhyidddin setakat ini menampakkan hasilnya lebih memihak kepadanya, tetapi persepsi umum, jika diperhatikan telah jatuh merudum lantaran kedudukan rakyat banyak dikebelakangkan, selain gambaran umum bahawa beliau adalah Perdana Menteri yang paling lemah dan penakut dalam sejarah negara
Dalam banyak segi, Muhyiddin ternyata jauh lebih lemah serta penakut berbanding Tun Abdullah Badawi yang tidak mampu bertahan lama sebagai Perdana Menteri dan Najib Razak yang akhirnya berjaya dijatuhkan melalui PRU14, tetapi jauh lebih kuat menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk politik berbanding kedua-duanya. (Shahbudindotcom 12/06/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/06/muhyiddin-pm-paling-lemah-penakut-tapi.html