Muafakat Jadikan Politik Terengganu Berwarna Warni Kembali

BORHAN AHMADApril 5, 2025
Asalnya hanya cakap-cakap di kedai kopi sahaja kerana tidak berpuashati dengan suasana politik Terengganu yang terlalu hambar walaupun isunya terlalu banyak di bawah.
Namun ia mula berubah dengan munculnya satu badan baharu yang menambahkan warna politik di negeri ini.
Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu atau Muafakat yang mula didaftarkan secara rasmi pada 17 Mac lalu bukan sahaja bermula dari tarikh itu bahkan lama sebelum itu.
Ini kerana aktiviti pra penubuhannya berjaya menarik pelbagai golongan masyarakat dari golongan professional yang aktif menyumbang untuk negeri dan ahli akademik serta aktivis yang aktif di negeri itu sehingga berkembang dengan disertai juga oleh rakyat Terengganu yang tinggal di perantauan.
Yang menariknya juga, Muafakat mempunyai rangkaian rasmi di setiap lapan kawasan parlimen di negeri pantai timur itu.
Warna politik Terengganu yang terlalu hambar ini terjadi apabila semua Ahli Dewan Negerinya hanya dari parti politik pemerintah sahaja, tiada pembangkang.
Kalau ada suara-suara berbeza dari suara rasmi kerajaan negeri, ia akan terus ditekan.

Menurut Setiausaha Muafakat, Dr Azrie Azeh (gambar atas), NGO ini ditubuhkan hasil cetusan pengerusinya, Zubir Mohamad yang merupakan bekas Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu yang selalu bersembang dengan rakan-rakannya yang pelbagai kumpulan itu.
“Ia hasil percambahan minda melalui diskusi dengan pelbagai pihak yang akhirnya mereka perlukan kepada pembenntukan sebuah NGO induk untuk membawa perubahan minda masyarakat,” kata Dr Azrie.
Ahli-ahli mereka pula adalah kalangan professional, pesara dan juga ahli akademik di mana timbalan pengerusinya adalah Datuk Muhatar Abdullah, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Yang menariknya, NGO ini disertai oleh ramai aktivis serta pemimpin politik termasuk dari Umno, PKR dan Amanah yang kini menjadi pembangkang di Terengganu. Antaranya Datuk Muda Mamat, Datuk Mohd Jidin, Dr Abdul Latif Awang, Ustaz Zuliadin Abdullah dan ramai lagi.
Kesemua mereka sangat aktif bersembang dan memberikan pandangan dalam kumpulan whatapps yang ditubuhkan hinggalah pertemuan dalam kumpulan-kumpulan kecil.
“Kami mensasarkan 1500 ahli yang aktif di seluruh negeri selepas ini,” kata Azrie kepada Harapandaily.
Hari Raya baru-baru ini juga telah dijadikan platform untuk sessi diskusi dan sembang-sembang.
Majlis raya yang berlangsung di rumah Pengerusi Muafakat, Zubir Mohamad itu berubah menjadi diskusi panas apabila turut disertai oleh Dr Mazlan Ali, ahli akademik UTM yang banyak membuat kajian tentang politik Terengganu.
Turut serta di majlis itu adalah perantau yang pulang dari Kuala Lumpur dan aktivis tempatan. Turut serta bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota dan juga bekas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.
Ia menjadi semakin panas dengan pelbagai isu yang diperkatakan, termasuk isu ramainya jumlah penjawat awam di negeri ini sejak Pas mengambil ahli pentadbirannya.
Turut dikongsikan maklumat adalah tentang isu agama yang sememangnya menjadi titik Utama politik di negeri itu.
“Bagi penyokong Pas, pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat baru-baru ini adalah hukuman hudud dah tetapi sebenarnya kerajaan Terengganu tidak pernah membuat persediaan pun ke arah itu, hanya cakap-cakap politik sahaja,” kata seorang bekas kadi atau hakim Mahkamah Syariah di negeri itu.
Pendek kata di tengah-tengah kehambaran politik, ada sinar bahawa politik di negeri ini masih hidup dan sedang bertiup kencang di bawah sana.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/04/muafakat-jadikan-politik-terengganu.html