Mp Pkr Malu Tertipu Bila Anwar Bersekongkol Dengan Kleptokrat
agendaily.com5/12/2022
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen (MP) PKR Pasir Gudang yang lantang bersuara, Hassan Abdul Karim akhirnya sedar tertipu dengan perjuangan pengasas reformasi Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sanggup menggadai prinsip demi mendapatkan kuasa.
Hassan meluahkan kekecewaannya menerusi puisi setelah hampir suku abad turut berjuang menegakkan ‘reformasi’ sambil menyatakan kenaifan dirinya yang mempercayai ungkapan perjuangan itu selama ini.
Beliau melahirkan kekecewaannya setelah Anwar melantik kumpulan kleptokrat dan individu terlibat dengan skandal serta kes jenayah, termasuk rasuah ke dalam Kabinet baharu kerajaan PH-UMNO.
Menyifatkan beliau selama ini tertipu dengan laungan ‘reformasi’ yang dibawa Anwar, Hassan juga seolah-olah menyesal kerana beliau turut terlibat meuar-uarkan prinsip itu ke seluruh ceruk rantau, mengajak rakyat memberi sokongan.
Menerusi puisi yang disiarkan dalam Facebook hari ini (5 Disember 2022), beliau terkenang bagaimana Anwar berulang kali memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau “tidak akan menggadai prinsip demi kuasa.’
Hassan berkata dengan keyakinan terhadap jaminan itu, beliau memulakan perjuangan ‘ke setiap penjuru tanah air tercinta ini.’
“Semalam aku masih terdengar-dengar. Kau berkata. Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa. Maka, aku pun percaya. Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku. Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
“Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah. Ke tanah datar aku berbicara. Bahawa hidup ini hanya sekali. Maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata. Demi keadilan kita bersama,
“Aku seru. Kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi,” tulis beliau untuk menyatakan kekecewaannya setelah Anwar menggadai prinsip perjuangan dengan menjadikan kleptokrasi sebagai rakan membentuk Kerajaan Pusat.
Menerusi puisi itu juga Hassan berkata setelah kecewa dengan apa yang berlaku, beliau tidak mahu lagi bercakap mengenai reformasi.
“Kini aku malu pada diri sendiri. Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi. Separuh jiwaku telah mati. Aku merasa tewas. Ketika menang tanpa integriti seperti ini,” tulis beliau.
Pada Jumaat lalu, Anwar melantik beberapa kleptokrat dan kluster mahkamah, termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.
Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika kempen pilihan raya untuk semata-mata menarik undi telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa kerajaan yang akan dibentuknya tidak akan memasukkan ahli politik yang terpalit skandal.
Namun langkahnya melantik Zahid dalam Kabinet baru mencetuskan kemarahan ramai di mana sebahagian ahli politik PH dilihat terpaksa mempertahankan keputusan itu, mengatakan lantikan Zahid adalah perlu supaya Anwar dapat terus berkuasa.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun dia mendapat tentangan dari dalaman UMNO sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.
Sebelum Kabinet diumumkan, Hassan adalah antara MP PKR, termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad yang memberi amaran kepada Anwar supaya tidak melantik pemimpin yang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.
Namun, mulut Nik Nazmi yang juga MP Setiawangsa itu kini tertutup setelah dilantik menjadi Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Dalam sebuah hantaran Facebook minggu lalu, beliau menyatakan kempen pilihan raya baru-baru ini adalah berpandukan dasar utama PH yang melawan rasuah, selain turut menggesa Anwar ‘supaya membentuk jemaah Kabinet yang bersih dari gejala rasuah dan pecah amanah.’
“Kriteria ini hendaklah diguna pakai secara adil kepada semua ahli Parlimen tidak kira dari PH ataupun BN atau parti- parti gabungan politik lain yang berada di dalam kerajaan perpaduan,” kata Nik Nazmi.
Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini
Hassan Abdul Karim
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/12/mp-pkr-malu-tertipu-bila-anwar.html