Misteri Mexico Baby Alien
Cerita berkisar tentang makhluk asing bukan sesuatu yang asing lagi bagi kita. Penemuan demi penemuan dilaporkan dilihat pada 1516 di Jerman.
Ditambah pula dengan suapan fakta pseudosains dari filem fiksyen ciptaan barat, kita umpama sudah fasih dengan karekteristik makhluk asing.
Namun apa yang mengejutkan dunia, penemuan bangkai yang didakwa makhluk asing di Mexico ternyata lain rupanya dari apa yang rata-rata dari kita imaginasikan.
Bukanlah berwarna hijau dan kepalanya tidak lonjong, tetapi bentuk badannya masih seakan seperti yang disogok dalam filem dan media cetak. Saiznya kecil, hanya sekitar tiga jari manusia dewasa menjelaskan mengapa ia digelar 'Bayi Alien' oleh sesetengah orang.
Makhluk yang ditemui sekitar lewat tahun 2009 ini amat membingung dan mengejutkan pakar-pakar dunia sains.
Menurut sumber media cetak, makhluk ini sebenarnya masih hidup ketika ditemui terperangkap pada sebuah perangkap haiwan.
Namun, petani Mexico yang menemuinya, Moreno Lopez bertindak membunuh makhluk ini. Dia yang panik dan takut melihat rupa 'binatang' kecil itu lantas melemaskannya dalam air.
Saintis kemudian menjalankan autopsi ke atas bangkai berkenaan dengan ujian DNA yang membawa keputusan membuntukan.
Kajian dan siasatan mereka mendapati ia sememangnya tidak diketahui daripada spesis haiwan apa.
Rangkanya mirip rangka cicak namun bukan dari mana-mana spesis cicak yang sedia diketahui manusia. Gigi makhluk ini juga tidak mempunyai akar dalam gusi seperti mana-mana haiwan yang berbentuk seakannya.
Sememangnya ada beberapa laporan kemunculan UFO dan 'crop circles' dilaporkan terjadi dikawasan dimana 'Bayi Alien' ini ditemui. Ini berdasarkan apa yang disiarkan media, Mexican TV pada 2007.
Ada pihak percaya berita ini hanya tipu helah semata-mata. Mereka tampil membangkang dakwaan bangkai yang ditemui itu adalah 'Bayi Alien' dan mengemukakan satu teori yang agak berasas dengan mendakwa makhluk itu hanyalah seekor 'Bayi Beruk'.
Ini membuka mata para saintis untuk mengkaji semula dan apa yang mereka temui kemudiannya sememangnya ada satu spesis monyet yang mempunyai rangka yang sama dengan bangkai tersebut.
Mereka mengandaikan bangkai tersebut itu berasal dari fetus monyet yang telah disiat kulit dan bulunya sehingga menjadi rupa seakan itu.
Mereka juga percaya, bangkai itu sebenarnya 'diletakkan' dalam perangkap itu seolah-olah ia 'terperangkap'. Ini berdasarkan saiznya yang agak kecil, agak mustahil untuknya berada pada kedudukan terperangkap sebegitu dalam perangkap haiwan sebesar itu.
Penemuan ini dianggap penipuan setelah pembongkaran dilakukan oleh para penyiasat, namun itu tidak bermakna misteri ini sudah berakhir. Tidak lama selepas itu, Moreno Lopez kemudian ditemui rentung terbakar dalam sebuah kereta di pinggir sebatang jalan.
Berita ini kemudian menjadi lebih riuh setelah keputusan siasatan daripada seorang pakar UFO, Joshua P. Warren mendapati api yang membakar kereta serta petani malang itu jauh lebih tinggi suhunya dari api normal.
Ini membawa kepada khabar angin bahawa dia kemungkinan dibunuh oleh 'Bayi Alien' yang membalas dendam atas perbuatannya membunuh 'Bayi Alien'.
Malah, bertambah kecoh apabila seorang lagi petani mendakwa turut menemui makhluk mirip bangkai tersebut yang lari ketika cuba dihampirinya.
Bagi seorang lagi pakar UFO, Jaime Maussin, percaya kisah ini bukan satu pembohongan.
BACA INI JUGA: 6 Lautan Paling Misteri Di Dunia
-SENTIASAPANAS.COM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2015/02/misteri-mexico-baby-alien.html