Mimi Fly Pupuk Naluri Keibuan
Dibesarkan ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU) membuatkan bekas anggota kumpulan One Nation Emcess, Shamimi Amalina Norhisham atau Mimi Fly, membuat keputusan untuk menyertai badan bukan kerajaan (NGO), Love Your Self Association (LYSA) bagi membantu mereka yang memerlukan, terutama kanak-kanak.
Lysa menumpukan usaha terhadap isu tekanan dan gangguan emosi yang dihadapi kanak-kanak berpunca daripada keluarga dan kesan kemajuan teknologi seperti media sosial.
Selain itu, badan yang disertai Mimi juga membantu ibu bapa yang memerlukan khidmat nasihat serta bimbingan.
Jelas Mimi, pengalaman yang dilalui membuatkan dia melihat kehidupan insan lain daripada persepsi berbeza.
“Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang sempurna sifatnya jarang nampak pengorbanan dan kepayahan yang dilalui orang tua. Zaman sekarang tidak mudah cari duit. Bagi keluarga yang hanya ada satu sumber pendapatan, belum tentu cukup.
“Apabila ibu bapa keluar bekerja, mereka tidak dapat memberi perhatian kepada anak-anak sepenuhnya. Situasi ini kadangkala menimbulkan rasa kurang senang anak dan mereka mula memberontak. Di sinilah peranan LYSA membantu anak-anak ini sebelum mereka tersesat jauh, berpandangan negatif atau timbul trauma,” katanya.
Katanya, LYSA juga banyak berurusan dengan generasi yang menghadapi tekanan dan masalah mental berpunca daripada teknologi.
“Inilah yang saya dan ahli pertubuhan LYSA mahu tangani. Kesan teknologi buat ramai keliru dan situasi inilah yang harus dihadam ibu bapa zaman sekarang.
“Bayangkan, sepanjang membabitkan diri dalam LYSA dan mendekati kanak-kanak di beberapa sekolah di seluruh negara, saya terkejut dan sedih kerana ada kes anak belum matang cuba bunuh diri dengan mengelar badan sendiri.
“Perkara ini berlaku kerana mereka tidak ada tempat untuk bercerita dan meluahkan perasaan. Tidak banyak NGO yang memberikan fokus kepada isu ini. Tanpa kita sedar, teknologi media sosial juga menjadi penyumbang terbesar pada masalah tekanan dihadapi kanak-kanak ini kerana terpengaruh dengan banyak infomasi diperoleh tetapi mereka tidak tahu menilai,” katanya.
Kata Mimi, masalah mental banyak terjadi yang menjadi penyumbang kepada kanak-kanak hilang keyakinan diri.
“Pengalaman bergelar penghibur yang selalu dilatih dan dibentuk bagaimana hendak beraksi dengan baik di pentas serta membina keyakinan diri membuatkan saya teruja menyertai LYSA. Perkara seperti yang saya nyatakan tadi perlu ada latihan dan sokongan,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengapa dia mahu bekerja dengan kanak-kanak bermasalah, Mimi berkata, dia tidak mempunyai zuriat meski pernah berkahwin sebelum ini.
“Sebagai wanita solo, saya ada banyak masa. Saya simpan impian untuk membina keluarga tetapi perkara itu tidak berlaku. Justeru, saya memutuskan untuk melaksanakan tanggungjawab seperti wanita dan ibu lain sama ada mahu mengambil anak angkat atau menyertai badan NGO yang membantu kanak-kanak.
“Saya akhirnya memilih untuk berbakti kepada lebih ramai kanak-kanak dan masyarakat. Menerusi pengalaman yang saya lalui sepanjang melaksanakan aktiviti bersama LYSA, banyak ilmu keibubapaan yang saya timba,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/05/mimi-fly-pupuk-naluri-keibuan.html