Mifa Bakal Naik Pangkat
PEMAIN MIFA, Kpah Sherman (dua dari kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan pada aksi perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, April lalu. - NSTP/Ghazali KoriMIFA bakal 'naik pangkat'
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mencadangkan MIFA dinaikkan pangkat beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.
MIFA bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan naib juara Liga Perdana, FELCRA FC yang terpaksa menarik diri kerana kekangan kewangan.
Cadangan nama MIFA dibuat susulan kejayaan kelab berkenaan menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tangga ketiga, di belakang juara FELDA United FC dan FELCRA.
Bagaimanapun, keputusan muktamad sama ada mereka boleh dinaikkan pangkat atau tidak hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MFL.
MFL mengesahkan sudah menghantar surat kepada MIFA mengenai lapan kriteria yang harus dipenuhi mereka sebelum dipilih untuk dipromosikan ke Liga Super.
“Seperti yang berlaku tahun lalu, pasukan tempat ketiga diberi peluang untuk naik. Namun, apa yang kita dapat lihat pasukan berkenaan menduduki tangga terbawah pada penghujung musim.
“Kita perlu membuat penilaian dahulu sebelum bertindak mempromosikan pasukan untuk naik ke liga lebih tinggi.
“Ia bagi memastikan pasukan berkenaan lebih bersedia dengan perancangan untuk memberi persaingan kompetitif dalam liga tertinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, malam tadi.
Antara kriteria daripada MFL yang perlu dipenuhi MIFA temasuk membuktikan lesen kelab sudah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), deklarasi pembayaran tertunggak dan perancangan kewangan dari tahun 2019 hingga 2021.
MIFA juga perlu menyediakan penyata audit kewangan, perjanjian sewaan stadium dan deklarasi intergriti bagi lima musim terakhir (2014-2018), carta organisasi pasukan, perancangan pasukan bagi menaikkan jumlah penyokong serta memantapkan perhubungan bersama penyokong.
- bharian.com.my
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2018/11/mifa-bakal-naik-pangkat.html