Mereka Bertiga Rapat Pergi Pun Bersama Bazookapenaka My
“SAYA tak sangka, persahabatan mereka yang erat sejak sekolah rendah berakhir dengan menemui ajal bersama,” luah Mohamad Syafiq Ahmad Kamil, abang kepada Mohamad Syahidi, 24, yang maut dalam kemalangan di Jalan Gerik – Baling di Gerik, petang semalam.
Mohamad Syahidi serta dua rakan baiknya Khairul Amirin Tengku Kamarudin dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli yang berusia 24 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, selepas kereta yang mereka naiki merempuh bas persiaran di Jalan Gerik-Baling.
Seorang lagi penumpang Perodua Myvi, Mohd Shahrin Rashid, 23, parah.
Mohamad Syafiq, 28, berkata, adiknya bersama rakan bergerak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, Sabtu lalu untuk menukar kereta dengan adik bongsunya, Mohamad Syarif, 19, sebelum mereka berempat bercuti ke Pulau Pinang.
Katanya, mereka sekeluarga menerima berita sedih 6 petang semalam sebaik dimaklumkan bapanya, Ahmad Kamil Sa’ud, 62, yang menerima panggilan telefon daripada polis.
“Keluarga saya terus bergegas ke Hospital Gerik sebaik menerima panggilan telefon sementara saya di rumah untuk membuat persiapan menunggu ketibaan jenazah adik yang dijangka tiba petang ini.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah sebelum dia bergerak ke Perlis. Arwah adalah anak kelima daripada enam adik-beradik yang kini cuti semester.
“Arwah kini berada di tahun dua dalam jurusan Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka.
“Arwah juga adalah antara adik yang boleh diharapkan untuk memandu jauh, malah sebelum dia bergerak ke Perlis, arwah baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur bersama bapa,” katanya yang bertugas sebagai doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu.
MOHAMAD Syafiq, abang kepada Mohamad Syahidi menunjukkan gambar terakhir bersama arwah ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini. FOTO Syaherah Mustafa
Mohammad Syafiq berkata, adiknya itu disenangi dalam kalangan keluarga dan saudara-mara kerana sikapnya yang ramah dan sentiasa ceria.
“Kami tidak menyangka sambutan Aidilfitri tahun ini dengan memakai baju sedondon berwarna ungu menjadi sambutan terakhir bersama arwah.
“Adik saya berkawan baik, terutama dengan dua rakannya yang juga maut malah mereka bersekolah di sekolah yang sama sejak sekolah rendah dan menengah.
“Walaupun sedih dan terkejut dengan kehilangan adik sekelip mata, namun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Jenazah Mohamad Syahidi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Chat di Kota Bharu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2019/06/mereka-bertiga-rapat-pergi-pun-bersama-bazookapenaka-my/