Menteri Terlalu Naif
MALAYSIA GAZETTE
Seorang pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terlalu naif apabila beliau mengatakan bahawa perniagaan kedai kopi bertambah baik selepas larangan merokok dikuat kuasa 1 Januari lalu.
Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Datuk Ho Su Mong berkata, larangan merokok hanya dilaksanakan kurang daripada dua minggu dan menteri hanya melawat beberapa tempat sebelum membuat kesimpulan tersebut.
“Hakikatnya, kebanyakan pengusaha kedai kopi tidak berpuas hati dengan larangan merokok yang menyebabkan perniagaan mereka menjunam 20 hingga 30 peratus, katanya kepada China Press.
Kata Su Mong, jualan rokok pengusaha juga terjejas apabila perokok mengurangkan kunjungan ke kedai kopi sejak awal tahun.
“Pada ketika menghormati dan memastikan kaum bukan perokok bebas daripada ancaman rokok, kerajaan juga perlu memikirkan keperluan perokok.
“Formula menang-menang perlu diwujudkan, bukannya melakukan larangan yang menjejaskan perniagaan kedai kopi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan harus merujuk keadaan di Jepun yang mewujudkan zon merokok yang khusus.
Dalam perkembangan berkaitan, Sinchew Daily melaporkan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye tidak akan mengambil tindakan ke atas dua perokok yang mengejeknya.
Beliau bagaimanapun berkata, orang ramai tidak harus mencabar undang-undang dan kerajaan tidak sesekali berlembut dengan mereka yang melanggar peraturan.
“Jika perokok tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan dan mereka mempunyai alasan yang kukuh, maka kami sedia berbincang dengan mereka,” katanya.
Sebelum ini, tersebar klip video dua orang lelaki merokok di hadapan tanda larangan merokok di kedai kopi dengan salah seorangnya mengejek Boon Chye sebagai bodoh.
Salah seorang perokok yang melakukan ejekan itu telah meminta maaf kepada Boon Chye.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/menteri-terlalu-naif.html