Menteri Akui 70 Peratus Produk Pengguna Sudah Turun Harga
KUCHING: Sebanyak 70 peratus produk pengguna di 10 pasar raya dan pasar raya besar di Bandaraya Kuching menunjukkan penurunan harga susulan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata penurunan harga berkenaan membabitkan 90 jenis barang yang direkodkan sejak 1 Januari lalu, berbanding dalam tempoh sama tahun lalu.
“Berdasarkan tinjauan, lebih separuh daripada barang yang merekodkan penurunan harga merangkumi produk makanan dan makanan basah. Contohnya, halia dari China kini berharga RM2.99 satu kilogram, berbanding RM4.99 tahun lalu.
“Telur ayam gred A juga menunjukkan penurunan harga kepada RM10.99, berbanding RM11.50 satu bekas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat kementeriannya di Sarawak, di Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.
Chieng Jeng berkata penurunan harga itu didorong faktor pemansuhan cukai berganda ketika cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dulu yang menekan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Kami menjangkakan pasar raya dan pasar raya mini akan banyak dibuka di seluruh negeri ini, sekali gus mengurangkan harga barang berikutan pertambahan persaingan dalam perniagaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian ada menerima laporan di negeri ini membabitkan penemuan serangga dalam satu produk formula susu bayi yang dibeli di kedai runcit, di Kuala Lumpur.
“Wanita berkenaan menghubungi saya dan memaklumkan beliau menemui serangga berkeliaran dalam paket susu formula bayi itu yang dibeli beberapa hari lalu. Susu berharga RM127.50 itu mempunyai tamat tempoh guna pada Jun tahun ini,” katanya.
Katanya, isu terbabit akan dibawa ke pengetahuan Kementerian Kesihatan bagi tindakan lanjut.
SUMBER
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2019/01/menteri-akui-70-peratus-produk-pengguna.html