Menjadi Penulis Yang Baik
Saya selalu disoal bagaimana menjadi penulis yang baik. Mereka meminta tips atau panduan untuk menempa kejayaan dalam bidang penulisan. Saya sering menjawab seperti berikut.
Untuk menjadi penulis yang baik seseorang perlu mempunyai:
Bakat
Kesungguhan dan kerajinan
Persekitaran yang memerangsangkan
Ilmu pengetahuan
Minat kepada perkembangan di sekeliling.
Disiplin
Gaya hidup sihat
Bakat
Bakat merujuk kepada kebolehan semula jadi, tetapi bakat sahaja tidak mencukupi. Bakat adalah umpama sebiji benih. Kalau benih tidak disemai, disiram, dijaga maka ia tidak akan tumbuh.
Kesungguhan dan kerajinan
Setiap orang yang mahu menjadi penulis mesti bekerja keras seperti di dalam bidang bidang yang lain. Orang yang rajin mempunyai harapan untuk berjaya lebih daripada orang yang malas. Seorang yang mahu menjadi penulis yang berjaya mesti rajin membaca untuk menambah pengetahuan dan rajin menulis untuk mempertajam bakat dan kebolehan. Kerajinan merupakan air dan baja yang menumbuhkan benih bakat. Kekangan yang paling hebat di dalam kerjaya menulis ialah sifat malas.
Persekitaran yang memberangsangkan
Seorang yang mahu terus menulis perlu meletakkan dirinya di dalam persekitaran yang dapat menyuburkan minatnya. Seorang yang mendapat galakan daripada keluarga, kawan-kawan misalnya akan terangsang untuk terus menulis. Ini juga bermakna seorang penulis perlu berusaha mengatur gaya dan cara penghidupannya supaya sesuai dengan minatnya. Pepatah ada mengatakan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Bagaimanakah caranya menyesuaikan diri dengan keadaan dan tuntutan kehidupan? Itu terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.
Belajar dari Penulis-penulis yang berpengalaman
Seseorang yang baru berjinak di dalam bidang penulisan bolehlah menimba ilmu dari mereka yang sudah berpengalaman. Bacalah tentang kehidupan penulis-penulis veteran atau penulis-penulis yang diminati untuk dijadikan contoh teladan. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan masa atau menyesuaikan masa untuk terus menulis. Ada di antara penulis-penulis veteran seperti Arenawati, A.Samad Said yang telah menulis tentang pengalaman mereka menghasilkan karya kreatif. Buku-buku ini menjadi sumber penting untuk menimba ilmu dan mendorong untuk berkarya. Setiap orang ada caranya tersendiri. SN Muhammad Haji Salleh pernah menceritakan yang beliau lebih selesa menulis puisi di dalam keadaan bersantai di rumah. SN Abdullah Hussein lebih suka berpakaian kemas seolah-olah bekerja di pejabat kerana katanya kalau terlalu kasual, terasa mahu berehat dan tidur sahaja.
Menghadiri ceramah, diskusi, bengkel
Salah satu cara untuk terus menyuburkan minat dan mengasah bakat ialah dengan menghadiri majlis-majlis ceramah atau kegiatan-kegiatan sastera. Di sana seseorang akan mendapat petua dan petunjuk dari penceramah. Di samping itu akan berpeluang bertemu, berbual dan bertukar-tukar fikiran sesama kawan-kawan penulis. Suasana begini boleh membenihkan idea dan menyuburkan minat dan bakat.
Zaman telah jauh berubah dan sentiasa berubah. Pada era digital adalah lebih mudah untuk mencari ilmu pengetahuan di hujung jari
Mendalami Ilmu Pengetahuan
Seorang penulis mesti rajin mendalami ilmu, rajin membaca dan mempertajamkan kebolehannya, sentiasa berminat dengan karya orang lain lebih-lebih lagi karya-karya besar. .Membaca dapat memperkaya perbendaharaan kata, mempertingkat kepandaian menyusun kata-kata dan penggunaan bahasa.
Untuk menjadi seorang penulis kreatif seseorang tidak perlu menguasai teori seorang penulis kreatif seseorang perlu menguasai teori sastera yang rumit. Namun begitu tidak salahnya mempelajari teori untuk menambah pengetahuan. Apa yang penting ialah minat di dalam bidang yang diceburi. Seorang penulis atau bakal penulis wajar mengambil tahu tentang perkembangan sastera dan sejarah kesusasteraan setidak-tidak pun di negaranya sendiri. Di samping itu untuk memajukan diri seorang penulis wajar mempunyai pengetahuan secukupnya di dalam bidang kritik sastera dan apresiasi sastera untuk mengetahui bagaimana menilai mutu atau kekuatan sebuah karya sastera dan bagaimanakah yang dikatakan sebuah karya yang segar dan baharu.
Berminat kepada perkembangan di sekeliling
Setiap karya sastera lahir dari kepekaan dan sensitiviti penulis akan perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya. Oleh yang demikian seorang yang tidak berminat dan tidak mahu mengambil tahu apa yang terjadi di dalam masyarakatnya, apa yang sedang melanda bangsanya dan apa yang mengubah penghidupan di dalam negara dan di luar negara tidak akan boleh menjadi penulis
Disiplin
Di kalangan penulis, terdapat mereka yang menulis sepenuh masa dalam erti kata tidak memegang jawatan yang lain. Mereka mungkin bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu memohon cuti dan kebenaran keluar pejabat dan keluar negara. Namun begitu kebebasan dan keselesaan seperti ini membahayakan jika seseorang tidak memiliki disiplin. Seseorang yang tidak bekerja di pejabat boleh diganggu misalnya oleh tetamu yang berkunjung bila-bila masa. Oleh itu penulis-penulis sepenuh masa juga perlu membuat jadual kerja masing-masing. Jadual kerja ini wajar diberitahu kepada orang-orang di sekeliling terutama yang mempunyai hubungan rapat.
Sekiranya mahu menjadi penulis menulislah setiap hari. Pepatah ada mengatakan “Sehari selembar benang lama-lama menjadi sehelai kain” Begitu juga kalau sehari lima muka surat misalnya tentulah ada yang dapat dihasilkan dalam satu bulan. Jangan menulis lima muka surat kemudian berhenti beberapa minggu. Ini menunjukkan tidak ada kesungguhan. Proses menulis boleh jadi memenatkan namun biasanya mengasyikkan. Hasilnya akan memberi kepuasananya yang tidak terucapkan
Gaya Hidup Sihat
Ada orang pernah mengatakan bahawa bila penyair mendapat idea, dia akan lupa makan minum. Satu ketika dahulu, para penulis, terutama penyair sering digambarkan sebagai golongan yang agak menyimpang daripada kehidupan biasa. Sebenarnya setiap manusia perlukan gaya hidup yang sihat untuk berjaya di dalam lapangan apa pun. Bukankah otak yang cerdas, fikiran yang bernas lahir dari badan yang sihat dan cergas.Menulis adalah satu proses yang boleh membuat anda cepat mengantuk. Oleh itu jagalah pemakanan dan amalkan senaman-senaman yang sesuai.
Seperti yang disebut terdahulu, salah satu cara yang baik ialah belajar dari penulis yang telah berjaya. Sebagai contoh mari kita ikuti apa yang dikatakan oleh Amelia Hashim penulis Kedah yang sangat prolifik dan telah menghasilkan berbelas-belas novel di samping cerpen dan skrip drama. . “Menulis novel menuntut banyak kesabaran kerana sebuah novel tidak akan siap dalam masa yang singkat.”
Amelia selalu membawa sebuah buku di dalam begnya untuk dibaca bila ada masa terluang.. “Saya akan membaca jika ada masa terluang seperti sedang menunggu giliran di dalam bank atau klinik. Saya tidak menonton siaran telivisyen kecuali berita dan rancangan menarik yang memberi ilmu. Untuk rehatkan fikiran saya melawat keluarga atau ibu bapa di kampung. Iinilah disiplin yang saya terapkan kepada diri sendiri. Saya tidak percaya kepada kesibukan sehingga tidak ada masa untuk menulis atau melakukan sesuatu di dalam hidup ini. Untuk menulis bukan menunggu masa ilham datang. Sebenarnya idea untuk dijadikan bahan kepada tulisan kita ini sentiasa ada disekeliling kita. Kita hanya perlu berfikir dengan mewujudkan beberapa persoalan. Tidak ada sekolah yang mampu mengajar kita menjadi penulis. Ini kerana semua orang boleh menjadi penulis sekiranya ada keinginan, kesungguhan dan kesabaran. Sekolah atau kursus hanya membantu mendedahkan seseorang kepada elemen-elemen yang dapat meningkatkan gaya peulisan atau mutu persembahan penulisan. Seorang penulis memerlukan ilmu bantu seperti falsafah, teori yang terselit di dalam mesej yang hendak disampaikan”.
PENULISAN DAN PROSPEK KERJAYA:
Secara tradisional kemahiran menulis telah membantu membina karier dalam pelbagai bidang. Antara industri terbesar yang memerlukan kemahiran menulis ialah Penerbitan, Persuratkabaran, Penyiaran, Perhubungan Awam dan Komunikasi. Secara ringkas, syarikat syarikat akhbar memerlukan wartawan, penyunting, penulis rencana dan sebagainya. Industri penerbitan sudah tentu memerlukan penulis dan penyunting. Setiap Jabatan kerajaan dan organisasi mempunyai unit perhubungan awam untuk meningkatkan imej korporat dengan mengeluarkan laporan tahunan, in-house magazine dan sebagainya. Pelbagai syarikat Perhubungan Awam menjalankan perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan menulis, menterjemah, menyunting, mengurus penerbitan buku contohnya untuk majlis-majlis, dan Buku Laporan Tahunan untuk syarikat-syarikat besar.
Era IT membuka peluang untuk penulis dalam proses menerbitkan CD Rom (berbentuk cereka, dokumentari, pembelajaran dan sebagainya). Tidak kurang juga terdapat individu atau pemimpin politik yang mengupah “ghost writer” untuk menggemilangkan imej masing-masing. Di samping itu kebolehan berbahasa membantu dalam kerjaya sebagai Setiausaha Akhbar, Penterjemah atau Pegawai Penyelidik.
Zaman telah berubah, sebahagian daripada jawatan-jawatan lama seperti operator telefon dan jurutaip tidak wujud lagi. Dunia sedang dilanda zaman digital dan Revolusi Perindustrian yang disebut IR 4.0.Di sana sini, ada syarikat akhbar ditutup rancangan TV kurang digemari, buku semakin kurang dibeli. Semua orang membaca dan menonton online. Namun begitu jangan putus asa . kemahiran menulis tetap menjadi suatu kelebihan. kerana walaupun pintu yang lama kian tertutup gerbang baru semakin terbuka, memberikan pelbagai harapan kepada penulis-penulis. Dunia semakin sibuk dengan lalulintas informasi. Penulis-penulis diperlukan sebagai “content provider” (pembekal kandungan) menulis untuk promosi jenama dan perniagaan. Semua ini memerlukan peningkatan kreativiti. Bakat dan kreativiti tidak mungkin diambil alih oleh robot atau mesin automasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://zurinahhassan.blogspot.com/2020/06/menjadi-penulis-yang-baik.html