Menguruskan Masa Dan Kesibukan Setiap Hari
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
apa khabar semua? aku alhamdulillah pagi ni bertambah baik kesihatan, mungkin sebab dapat tidur yang cukup malam tadi. Walaupun badan terasa lenguh-lenguh, tapi syukur alhamdulillah ianya adalah lebih baik daripada sebelumnya.
kali ni aku nak bercerita mengenai kesibukan kehidupan kita setiap hari, aku pernah satu ketika mengalami masalah yang sama. Terasa setiap hari begitu sibuk dengan pelbagai perkara dan urusan, namun sebenarnya ada banyak perkara yang akan memudahkan kesibukan tersebut.
Setiap individu di dunia ini mempunyai 24 jam sehari, bezanya sama ada kita gunakan 24 jam sehari tu untuk urusan yang penting, atau sebaliknya. Pernah satu ketika, aku akan keluar rumah selepas subuh dan ada ketika tiba di rumah dah nak menjelang subuh semula.
Memang penat dan letih bila rutin begitu perlu dilakukan setiap hari, tanpa sedar hampir 5 tahun berlalu begitu sahaja dengan rutin kesibukan yang luar biasa. Hujung minggu pun tidak bercuti dan macam-macam lagi. Ada ketika, malam raya pun masih sibuk dengan kerja.
Perlu mengetahui aktiviti yang penting
Apabila kita berada dalam keadaan begini, sebenarnya kita cuba untuk melakukan semua perkara, termasuk perkara yang kurang penting setiap hari. Perkara yang kurang penting ni adalah perkara yang kalau kita tak buat pun tak menjejaskan apa-apa dalam kehidupan kita.
Jika anda masih belum tahu apakah perkara kurang penting dalam kehidupan anda, silalah buat senarai aktiviti yang anda lakukan setiap hari. Kemudian semak pula apakah aktiviti yang tidak akan memberikan manfaat dalam pekerjaan atau perniagaan yang anda usahakan.
Sebagai contoh, sekiranya memegang telefon di waktu pagi tidak memberikan manfaat dalam aktiviti harian anda, tak perlulah pegang telefon. Ini sekadar contoh.
24 Jam sehari yang kita ada ini sebenarnya bila disusun semula dengan baik, akan ada banyak masa yang berbaki. Kita sahaja yang membenarkan diri kita berlaku kejam kepada diri sendiri.
Menguruskan masa tidak bermakna kita malas
Menguruskan masa dengan baik tidak bermakna kita ini malas, ramai yang salah anggap perkara ini. Melakukan lebih banyak aktiviti yang produktif dalam masa yang ditetapkan lebih baik berbanding melakukan banyak aktiviti yang tidak produktif.
Sebagai contoh, anda membuka tapak jualan dari pagi sampai petang, tetapi anda hanya duduk menunggu pelanggan tiba ke tapak jualan anda. Walaupun nampak seakan anda itu sibuk dengan aktiviti yang bagus, tetapi hakikatnya anda sedang membuat aktiviti yang tidak efektif.
Adalah lebih baik anda hanya buka tapak jualan di waktu pagi sahaja sebagai contoh, tetapi pelanggan anda memang telah mengetahui anda wujud di situ disebabkan hebahan yang telah dilakukan sebelumnya. Ini akan nampak seakan anda bekerja separuh aktif daripada situasi pertama tadi, tetapi hakikatnya, aktiviti anda itu mendatangkan lebih banyak faedah.
Bagaimana untuk mengetahui aktiviti anda itu mendatangkan faedah atau tidak?
Perlu juga senaraikan apa hasil yang anda dapat melakukan aktiviti tersebut, jika setiap minit yang anda habiskan hanya menyebabkan duit anda keluar, tenaga anda keluar, masa anda habis, tetapi tidak ada penghasilan nyata. Sila semak semula.
Penghasilan di sini bukan semestinya duit semata, andai hasilnya adalah penambahan pengalaman, anda dapat membaiki cara berkomunikasi dan seumpamanya, itu juga adalah hasil yang baik.
Masa tidak akan dapat diulang kembali
Ini antara benda penting yang perlu kita faham, masa yang berlalu pergi tidak akan boleh kita dapatkan kembali. Tidak mungkin.
“masa itu emas”
Ungkapan ini nak menunjukkan masa itu berharga, tetapi emas sekurang-kurangnya kita boleh beli atau dapatkan kembali. Masa ini lebih berharga dan tidak ternilai kerana sesaat yang berlalu, tidak akan kita dapatkan kembali.
Kehidupan kita ini sentiasa berjalan, tidak akan berhenti kecuali ketika kita telah meninggal dunia. Kenal diri kita, uruskan aktiviti kita, selepas itu kita akan dapat lihat bagaimana kehidupan kita yang kononnya sibuk itu akan menjadi lapang.
Aku hanya kongsikan pengalaman, aku dah lalui kesibukan tidak terperi itu, akhirnya, sebenarnya kehidupan ini boleh sahaja diuruskan dengan lebih santai.
Anda tidak akan terlalu sibuk jika meletakkan prioriti yang sepatutnya dalam kehidupan. Semoga dipermudahkan segalanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/menguruskan-masa-dan-kesibukan-setiap-hari/