Menggigit Mereka Yang Terbabit Menggugat Mereka Yang Terlibat
 Ahmad Lutfi Othman    

    AHMAD LUTFI OTHMAN
Prestasi Pakatan Harapan memenuhi janji dan manifesto pilihan raya  sentiasa di bawah teropong. Ia dipantau dengan rapi, bukan sahaja  selayaknya oleh barisan pembangkang tetapi juga rakyat keseluruhannya.
Kita mendengar di mana-mana sungutan dan keluhan rasa tidak puas hati  itu. Kebanyakannya kurang sabar melihat kemajuan yang perlahan, terutama  berkaitan bebanan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan asas.
Di bawah regim lama, segalanya dipusatkan untuk mempertahankan kuasa perdana menteri.
Manakala budaya sogokan dan korupsi seperti menjadi darah daging sebati dalam kebanyakan setiap lapis urusan kerajaan.
Perdana Menteri sendiri mengakui beliau pun kurang berpuas hati dengan  perubahan kerajaan baharu, mungkin difaktorkan kurang pengalaman dan  tidak disokong jentera pentadbiran yang efisyen, tetapi sedia memberikan  ruang secukupnya untuk jemaah Kabinet mempamerkan kualiti kerja yang  diharapkan rakyat.
Selain majoriti menteri kurang berpengalaman sebagai anggota  pentadbiran, keadaan kewangan yang diwarisi daripada regim kleptokrat  terdahulu cukup teruk, jentera pelaksanaan juga banyak terpalit dengan  kes rasuah dan salahguna kuasa.
Fasa pertama pembersihan dan pembaharuan sudah dimulakan. Pelbagai  jawatankuasa dibentuk untuk nembanteras rasuah, memantapkan tadbir urus,  menjimatkan perbelanjaan dan mengembalikan integriti.
Sekurang-kurangnya ada perasaan lega dan lapang menyaksikan proses  reformasi berjalan di atas landasan yang tepat. Mungkin dirasakan lambat  dan perlahan, tidak sepertimana jangkaan publik, namun ramai  mengharapkan tahun 2019 ini, ia bergerak lebih pantas.
Rakyat tidak takut lagi untuk bersuara dan meluahkan kritikan terhadap  pemerintah, sehingga timbul keresahan kita memberi ruang yang begitu  bebas dan boleh disalahguna.
Sehingga timbul cadangan bagi mengembalikan penguatkuasaan undang-undang  yang keras dan tegas. Mereka bimbang kestabilan negara dan keharmonian  antara kaum boleh terjejas apabila kebebasan bersuara itu dibuka  seluas-luasnya.
Dalam amalan demokrasi, elemen kebebasan media yang begitu penting itu  jarang dilihat oleh orang awam sebagai tonggak utama sistem bernegara.  Ia jarang dituntut dan diperjuangkan.
Manakala bagi penguasa pula, media bebas dianggap sebagai seteru atau  pihak yang dimusuhi apabila segala kebejatan bakal dibongkar dan  diselongkar.
Perkembangan yang positif dan membanggakan apabila pentadbiran baharu  Pakatan Harapan menunjukkan iltizam yang tinggi, selama lapan bulan  memerintah, untuk tidak lagi mengongkong atau mengawal ketat media. Hak  asasi untuk bebas bersuara telah diiktiraf.
Mengenang zaman gelap media ditindas dahulu, seperti tidak terbayangkan  peritnya. Permit akhbar terlalu sukar diperolehi, malah hampir mustahil  diberikan kepada individu yang tidak mesra elit penguasa. Malah untuk  mencari pencetak pun, untuk tempoh tertentu, amat sukar sekali.
Lidah rasmi parti pembangkang, seperti Harakah dan Suara Keadilan, yang  begitu terbatas kemampuannya, dikenakan syarat yang karut-marut,  misalnya tidak boleh dijual di tempat awam, hanya untuk ahli sahaja dan  pelbagai peraturan baharu yang ditambah bila-bila masa diperlukan. Kini  organ parti bebas dijual di pasaran terbuka.
Kini, akhbar yang diketahui umum dikuasai mutlak parti pembangkang,  misalnya Utusan Malaysia, dibiarkan bebas mengkritik kerajaan dan  mempromosi Umno.
Sebenarnya tiada rugi pun untuk membenarkan apa jua saluran rakyat  berinteraksi tanpa diselubungi budaya takut. Malah kerajaan yang cakna  suara berbeda mendapat manfaat besar apabila dasar-dasar dan pelaksanaan  programnya diberikan respons segera yang jujur. Dengan itu, boleh  segera dilakukan penambahbaikan stau penyesuaian agar selari dengan  kehendak rakyat.
Kita masih belum mendengar ada usaha terancang Pakatan Harapan bagi  mengambil alih akhbar atau media utama sedia ada. Mungkin penyokong PH  tidak selesa dengan situasi itu, sebaliknya mereka mengharap parti  pemerintah segera menguasai syarikat-syarikat media itu. Tetapi bagi  saya, ia sikap terbuka yang boleh menyuburkan kebebasan media yang  merupakan tiang seri demokrasi yang sudah lama hilang.
Tidak sedikit yang kurang berpuas hati dengan laporan dan persembahan  media kerajaan, seperti RTM dan Bernama. Hujah mereka, banyak agenda  pembaharuan pemerintah tidak diketahui awam.
Serangan oposisi pula tidak ditangkis dengan baik menyebabkan khalayak mudah terkeliru dengan propaganda. Agak menyedihkan pula apabila media sosial disumbatkan  dengan hantaran yang menyalahtafsirkan dasar dan program kerajaan tetapi  gagal dijawab dengan baik.
Ketika media dibebaskan, permohonan mendapatkan lesen dilulus,  undang-undang drakonian seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan  dimansuh, penguatkuasa bersikap lebih lunak, tiada lagi sebarang  panggilan telefon amaran dari pejabat KDN, maka seharusnya agensi media  kerajaan seperti Bernama dan RTM mempamerkan kualiti tahap tertinggi  serta diuruskan secara profesional dan berintegriti.
Kerjaya sebagai pengamal media tidak lagi dianggap sebagai pengampu dan  pembodek elit pemerintah. Wartawan khususnya menjadi profesion  terhormat, agen perubahan dan semak-imbang, jurubicara masyarakat  terpinggir, dan mampu memimpin pemikiran kritis.
Benar sekali telahan Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, meskipun masih  banyak janji pilihan raya yang tertunggak dan belum ditunaikan, namun  apabila media sudah dibenarkan beroperasi dengan bebas dan tidak  dikongkong, ini merupakan suatu kejayaan besar yang patut diraikan. Ia  adalah pencapaian luar biasa bagi sebuah negara membangun.
Media yang tidak dikekang bermakna kita boleh menyaksikan pendedahan  menteri yang menyeleweng, pembongkaran penguasa yang korup dan salahguna  kuasa, liputan seimbang tentang rakyat yang menderita dan kroni rakus,  laporan penyiasatan berfakta tentang skandal kewangan yang cuba  disembunyikan. Dana awam dan wang pembayar cukai tidak mudah lagi untuk  dibazirkan. Kuasa eksekutif boleh dipantau rapi.
Akhbar bebas memudahkan lagi agenda reformasi dilaksanakan secara  tertib. Ia juga tidak hanya menyajikan ketirisan, pembaziran dan  kecurian dana awam oleh regim yang telah ditumbangkan atau diktator  pencen tetapi berpotensi sebagai “anjing penjaga” yang tidak senang  dijinakkan pencuri, kepada kerajaan sedia ada.
Sebagai warga media — walaupun sudah uzur dan tidak produktif lagi —  saya cukup bersyukur dengan iklim baharu yang menyegarkan ini. Suatu  cabaran besar dan kritikal bagi setiap pejuang kebebasan akhbar, untuk  memenuhi tanggungjawab selepas ruang selesa terhampar.
Ya, segala sekatan, peraturan dan budaya lampau belum sepenuhnya  dimansuhkan atau berubah. Proses itu harus segera dilembagakan. Tiada  tolak ansur untuk melambat-lambatkannya.
Buat teman-teman media, kita juga harus sepakat untuk terus menuntut  pembaharuan walaupun pemerintah nampak komited dengan agenda perubahan.
Hubungan media-pemerintah, biar bagaimana baik pun, mungkin ada pasang  surutnya. Kita, orang media, harus bersedia untuk mendaki gunung dan  menuruni lembah dengan prinsip dan idealisme yang sama. Saya teringat  pesan guru saya, “menggigit mereka yang terbabit, menggugat mereka yang  terlibat”. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/menggigit-mereka-yang-terbabit.html