Mengapa Islam Amat Mementingkan Soal Penguasaan Ilmu
Ajaran Islam amat mementingkan soal berkaitan ilmu. Perlaksanaan hukum agama itu sendiri berteraskan kepada ilmu. Tanpa ilmu berkaitan ketuhanan, fardu ain, fardu kifayah dan sebabainya, seorang penganut agama Islam tidak dapat berfungsi sebagai seorang muslim yang sempurna.
Secara tuntasnya, tahap penghayatan terhadap ajaran Islam mempunyai kaitan dengan sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang berkaitan dengannya.
Sebab itu, selain proses keislaman melalui pengucapan kalimah syahadah, maka ia perlu diteruskan dengan proses mendalami ilmu Islam. Justerus, pendakwah dan ilmuan Islam yang datang ke alam Melayu pada masa awal penyebaran Islam turut mengadakan kelas-kelas agama kepada penduduk tempatan yang telah menganut agama Islam.
Kelas yang diadakan bukan saja memberi pengetahuan mengenai Islam, tetapi juga menjadi kaedah untuk terus mendampingi dan memberi keyakinan kepada orang yang baharu menganut Islam tentang cara hidup Islam. Cara itu juga dapat menarik lebih banyak orang berminat menganut Islam setelah melihat hasil positif kehidupan orang Islam.
Kaedah penyebaran ilmu Islam berlaku secara formal dan tidak formal. Secara formal berlaku melalui institusi khusus yang menjadi teras kepada proses penyebaran agama Islam. Antara institusi yang memainkan peranan besar dalam penyebaran Islam di alam Melayu ialah institusi istana, masjid, pondok, sekolah agama dan institusi pengajian tinggi.
Pendidikan formal ini berjaya melahirkan banyak bijak pandai dalam bidang agama dan kemudiannya menjadi pengembang kepada ajaran Islam seterusnya.
Mereka yang berpendidikan formal ini bukan belajar setakat di situ saja, bahkan menyambungkan pelajaran di tempat-tempat lain hingga ke luar negara, terutama di Arab Saudi dan Mesir.
Manakala pendidik tidak formal berlaku secara hubungan sesama orang Islam yang sentiasa mengajar dan menceritakan sesuatu berkaitan ilmu Islam Ia berlaku di mana-mana saja, termasuk di pasar, tempat tempat orang ramai, hubungan persaudaraan dan sebagainya.
Pendidik tidak formal berlaku secara berterusan melalui pemerhatian, mendengar, pengalaman dan sebagainya. Apa yang baru diketahui atau dilakukan adalah ilmu baru yang diperoleh. Ia memberi manfaat untuk masa depan mengikut keperluan yang berkaitan.
Contohnya ilmu berkaitan tanda akan turun hujan. Kita mungkin tidak mengetahui tanda-tanda akan berlaku hujan. Tetapi berdasarkan pengalaman atau maklumat mengenai keadaan mendung yang kemudiannya turun hujan, kita dapat tahu jika keadaan sama berlaku, iaitu mendung, itu tanda hari akan hujan.
Itu dinamakan mendapat ilmu secara pemerhatian dan pengalaman. Ilmu itu tentu sekali memberi manfaat untuk pada masa hadapan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hwaliman.blogspot.com/2023/01/hte.html