Mendiang Awang Raweng Disemadikan Di Makam Pahlawan
MALAYSIAKINI
Perwira negara Datuk Awang Raweng, 104, yang meninggal dunia di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari Kuching pada Jumaat lepas, dikebumikan dengan penuh istiadat pengebumian negeri di Makam Pahlawan di Jalan Budaya, di Kuching hari ini.
Upacara pengebumian yang bermula pada 10 pagi di Dewan Suarah Kuching itu disempurnakan oleh Paderi Canon Roannie W Cannidy dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.
Beberapa menteri kabinet negeri, Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi, Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi Britain Kapten Simon Hindmarsh, ahli keluarga dan orang awam turut hadir pada upacara itu.
Uggah juga menyampaikan eulogi untuk mendiang Awang yang merupakan satu-satunya penerima Pingat George Cross di Malaysia, sebelum kerandanya dibawa ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Awang yang jasadnya ditempatkan di Dewan Suarah Kuching selepas tiba dari Sri Aman, semalam.
Awang, bekas anggota elit Iban Tracker semasa zaman penjajahan British, meninggal dunia pada 2.15 petang Jumaat lepas, di kediaman anak lelakinya di Sri Aman akibat pneumonia.
Mendiang dianugerahkan pingat George Cross yang dinamakan bersempena nama King George VI, daripada Ratu England pada November 1951 sebagai mengiktiraf keberaniannya melawan kira-kira 50 orang komunis di hutan Kluang, Johor seorang diri sambil melindungi seorang tentera British yang cedera, sekalipun beliau sendiri cedera parah.
Sebagai penerima Pingat George Cross, mendiang dilaporkan diterbangkan ke London setiap tahun bagi menghadiri majlis perjumpaan semula Batalion Pertama Rejimen Hutan Worcestershire and Sherwood dan berpeluang bertemu Ratu Elizabeth II.
Beliau juga menerima Ijazah Sarjana (Kehormat) Kajian Strategik daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Okt 2015 dan pada 2018, mendiang dianugerahkan pingat Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.
- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/mendiang-awang-raweng-disemadikan-di.html