Mendaki Gunung Kerinci
Saya gagal mendaki ke puncak Gunung Kerinci ini pada tahun 2017 kerana factor cuaca. Pada masa itu hujan lebat turun sepanjang hari dan malam menyebabkan saya dan kawan-kawan terpaksa mengalah pada ketentuan Maha Pencipta. Pertengahan September 2023, saya mencuba lagi mendaki ke puncak Kerinci ditemani seorang teman anak jati Sumatera. Setiba saya di airport Padang, kami berdua terus menaiki keretapi menuju ke Bandar Padang.
Kami membeli ticket van ke Kresek Tuo sekitar jam 19:00 malam. Sementara menunggu masa keberangkatan, kami menjamu selera dan menziarahi masjid tepi laut yang baru dibina iaitu Masjid Al Hakim.
Kami sampai di Kresek Tuo sekitar jam 03:00 pagi dan singgah berehat dan tidur sebentar di Basecamp Pak Tumin. Keesokkannya jam 08:30 pagi kami menaiki kenderaan lasak membelah kawasan kebun teh dan kebun sayur ke permulaan jalur Gunung Kerinci. Jam 09:00 pagi setelah sampai di penghujung jalan yang boleh dilalui kenderaan, kami memulakan pendakian. Lima minit menyusuri kebun sayur kami sampai di pintu rimba di mana trek pendakian ke puncak Gunung Kerinci bermula
Permulaan trek mendatar dan redup. Kami sampai di Pos 1 atau Pos Bangku Panjang pada jam 09:30 dan meneruskan perjalanan ke Pos 2 tanpa berhenti rehat
Setelah trekking 30 minit kami sampai di Pos Batu Lumut atau Pos 2. Trek redup dan masih agak mendatar. Kami berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Pos 3
Menuju Pos 3, trek agak menaik sedikit dan kami sampai di Pondok Panorama atau Pos 3 sekitar jam 10:45 pagi. Kami berehat di sini sekitar 15 minit. Sepanjang jalur menuju puncak, pendaki tidak dibenarkan mendirikan khemah di hentian Pos 1, Pos 2 dan Pos 3. Berkhemah dan bermalam hanya dibenarkan di kawasan Shelter 1, Shelter 2, Shelter 3 sahaja dan kawasan tapak khemah tertentu yang terpilih
Kami kemudian bergerak santai menuju ke Shelter 1. Jam 12:45 kami sampai di Shelter 1. Terdapat kawasan khemah yang besar dan rata di sini yang boleh memuatkan kumpulan pendaki yang ramai.
Kami berehat agak lama di sini sambil makan tengahari. Trek seterusnya agak jauh menuju ke Shelter 2 di mana kami bercadang untuk bermalam
Jam 16:45 petang kami sampai di Shelter 2. Kami bermalam dengan kumpulan lain yang turut mendaki pada hari itu. Setelah makan malam, kami berehat dan tidur awal. Jam 03:30 pagi kami mula bergerak menuju puncak Gunung Kerinci. Tidak banyak gambar yang dirakam sepanjang pendakian kami melintasi Shelter 3 dan Tugu Yuda kerana keadaan yang gelap. Setelah matahari mengintai bumi, kami masih mendaki di jalur yang berbatu kerikir dan agak mengelongsor.
Pemandangan subuh itu sungguh indah. Ramai pendaki masih menuju puncak walaupun ada yang berselisih turun. Kami sampai di puncak pada jam 08:25 pagi. Cuaca pagi itu sungguh cerah dan pendakian saya 5 tahun lalu tertunai. Kami bergambar di puncak gunung api tertinggi Indonesia itu semahunya
Gunung kerinci 3805 meter merupakan gunung tertinggi di Pulau Sumatera dan tersenarai dalam 7 Summit Indonesia. Kami bergerak turun pada jam 08:45 pagi dan sampai semula di tapak khemah Pos 2 pada jam 11:30 pagi
Jam 12:30 tengahari selepas makan kami bergerak turun dan sampai di pintu rimba jam 18:00 petang. Seterusnya kami menaiki kenderaan yang sedia menunggu menuju ke kampung Kresek Tuo
Malam itu setelah makan malam, saya dan teman berangkat pulang ke Bandar Padang menaiki pengangkutan awam dan kami berehat di Padang sebelum saya terbang pulang ke Malaysia.
Contact:
1- Rahman +62 853-2876-3072.
2: Rian:+62 853 8281 4308 (Guide/ Porter)
Itinerary:Hari 1Kuala Lumpur - Kota Padang - Kresek TuoHari 209:00 - Mula mendaki
16:45 - Shelter 2 (bermalam)
Hari 303:30 - Mula mendaki ke puncak
08:25 - Sampai puncak Gunung Kerinci08:45 - Bergerak turun ke Shelter 2
11:30 - Sampai Shelter 2
12:30 - Bergerak turun
18:00 - Sampai Pintu Rimba- Kresek Tuo
21:00 - Berangkat ke Kota Padang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2023/09/mendaki-gunung-kerinci.html