Mencari Di Mana Keadilan
Bagi saya yang muda belia pada 90-an, pada waktu itu sudah mula terdedah dengan karya seni protes terhadap ketidakadilan sistem. Laungan dan jeritan penyair dan penyanyi jalanan di Masjid India dan Central Market tentang Dasar Ekonomi Baru, kemelesetan ekonomi dan birokrasi jabatan membuka mata muda saya bahawa ada sesuatu yang sedang berlaku di belakang tabir pentas kehidupan.
Di sebalik slogan indah di kaca TV seperti ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ atau ‘Bersih Cekap Amanah’, saya tidak sedar bahawa rupa-rupanya ada masalah lain. Ada suara yang merasa mereka tertindas dan tertinggal. Ada jiwa yang berasa ketidakadilan berlaku. Ada rakyat berasa dizalimi dan tidak terbela. Saya mula menyedari di sebalik hal manis-manis yang saya baca di surat khabar dan tonton di kaca TV, ada sisi lain yang tidak mereka paparkan. Saya seakan tak percaya perkara seperti itu wujud.
Ini kerana di media arus perdana, kerajaan sering membentangkan dasar-dasar mereka yang prorakyat. Pelbagai program dirangka untuk membaiki taraf hidup seluruh warga. Berita di TV dan surat khabar sering memaparkan kejayaan kerajaan dengan memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat, menikmati rawatan kesihatan murah serta peluang pekerjaan dan perniagaan yang luas. Masakan masih ada yang tersisih? Ironi sungguh!
Namun begitu, suara-suara yang menuntut keadilan terus ada. Mendengar puisi dan lagu protes menuntut kesamarataan dan keadilan kepada rakyat menyentak naluri ingin tahu saya untuk terus mengkaji apakah benar ada warga yang hak mereka telah dinafikan?
Sistem demokrasi berparlimen Malaysia seperti diketahui, asasnya terdiri daripada sebuah gabungan parti pemerintah yang membentuk kerajaan dan di sebelah satu lagi ialah parti pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang di mana peranan keduanya tetap sama iaitu berkhidmat untuk rakyat.
Dari dua blok ini wujudlah penyokong masing-masing yang membuat saya pening. Ketika penyokong pembangkang mendakwa ketidakadilan terus berlaku dengan menyatakan rakyat makin lama makin susah, nilai mata wang makin susut dan harga barang makin mahal – penyokong kerajaan pula menolak dakwaan itu. Segala hujah tersebut adalah fitnah dan dakyah pembangkang untuk menggugat kestabilan negara, kata mereka.
Kemudian, parti pembangkang pula menang pada pilihan raya berikutnya dan mengambil giliran menjadi kerajaan. Mereka dan penyokong mendakwa di bawah pemerintahan mereka, keadilan telah dilaksanakan. Sementara bekas parti pemerintah yang menjadi blok pembangkang sebab kalah pilihan raya pula menampilkan hujah-hujah bahawa negara semakin parah dan bakal muflis. Kezaliman terhadap rakyat didakwa berlaku. Mereka mendakwa mereka lebih baik sebagai pemerintah sebelum ini.
“Harga beras makin mahal. Beras tempatan, minyak peket tak ada. Ikan, ayam, santan naik menggila!” Protes seorang kawan yang tidak menggemari kerajaan hari ini.
“Eh! Kat tempat aku tak ada masalah pun? Senang je dapat beras. Harga ayam aku beli semalam pun murah berbanding kerajaan dulu.” Sanggah seorang lagi kawan saya yang propemerintah.
“Kebebasan bersuara perlu batasnya. Jika memudaratkan ketenteraman, pembawa berita palsu ini patut ditangkap.”
“Aik? Bukankah kau dulu perjuangkan kebebasan bersuara di tepi jalan? Sekarang dah jadi kerajaan kau kata tak boleh?”
“Untuk berlaku adil kepada semua pihak, perlu ada batas.” Kawan saya penyokong kerajaan mempertahankan hujahnya.
“Maksud kau, dulu ketika kau kena tangkap – tindakan kerajaan dulu itu betullah, kan? Untuk keadilan semua.” Tempelak si propembangkang.
Kedua mereka terus bertekak tentang keadilan. Masing-masing mendakwa merekalah yang adil. Saya bertanya kepada mereka kenapa sentiasa ada sahaja yang berasa kezaliman berlaku tak kiralah siapa yang menjadi kerajaan? Keduanya payah untuk menjawab. Yang saya dengar hanyalah jawapan-jawapan retorik syok sendiri.
Memantau rungutan rakyat di media sosial tentang ketidakadilan pemerintah dan menilai hujah-hujah pihak propemerintah yang mendakwa keadilan telah ditegakkan membuatkan saya ingin bertanya; di manakah letaknya keadilan yang sebenar? Bagaimana sebenarnya keadilan diukur?
Untuk menilainya dengan saksama tanpa gentar dan gemar (fear and favour), cubalah berlaku jujur dengan diri sendiri dengan melihat sekeliling secara rasional. Tanggalkan baju politik kepartian dan dengar betul-betul suara rakyat. Turun ke padang untuk rasai dengan mata kepala sendiri. Pergi ke kaki lima Chow Kit Road tengah malam dan lihat berapa ramai warga tanpa rumah tidur bergelimpangan, siap ada anak isteri lagi. Saksikan sendiri, bukan bercakap soal miskin dan susah tetapi tangan menggeluk cawan kopi yang mewah.
Untuk berlaku adil, kita juga perlu akur dengan beberapa dasar dan program yang berjaya dilaksanakan kerajaan untuk keselesaan rakyat. Bukanlah apa yang dibuat oleh kerajaan langsung semuanya tak berguna dan bukanlah semua yang dikatakan oleh pembangkang itu jahat. Jernihkan semua itu, betulkan juling pandangan – pasti nampak apakah keadilan yang didabikkan itu benar-benar ditegakkan.
Untuk saya, dalam hal dakwa-dakwi siapa pembawa obor keadilan ini, tak ada apa-apa berlaku pun sebenarnya. Sistem yang sedia ada ini telah dibentuk sekian lama dan sudah diamalkan dalam hidup kita sehari-hari. Ia akan terus begini bersilih-ganti. Ketika masing-masing mempertikai atau mempertahankan sesebuah idealisme, tiada apa perubahan berlaku kerana semua aktiviti itu juga merupakan sebahagian daripada sistem itu sendiri. Siapa naik dan siapa turun – itu hanya pelakon sedangkan ceritanya tetap sama. Sistem telah menyusunnya begitu. Siapa yang menyusun dan siapa yang untung, malas untuk saya perkatakan!
Bak kata Iwan Fals yang asalnya hanya penyanyi jalanan di Indonesia dalam lagu Jangan Bicara:
“Jangan bicara soal idealisme
mari bicara berapa banyak uang di kantong kita…”
Justeru, elok kita tinggalkan perdebatan kawan-kawan berpolitik kepartian yang tak habis-habis bertekak dalam memperkatakan soal hak dan keadilan. Ia akan berulang-ulang dan berbalik-balik. Buang masa! Kata Iwan Fals lagi;
“Jangan perdebatkan soal keadilan
Sebab keadilan bukan untuk diperdebatkan
Jangan cerita soal kemakmuran
Sebab kemakmuran hanya untuk anjing si Tuan Polan…”
Walhasil, kita warga marhaen tetap kena urus hidup kita sendiri. Tetap kena kerja buat mencari makan dan membayar bil sendiri asalkan tak menganiaya dan menyusahkan sesiapa. Itulah keadilan hakiki! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/mencari-di-mana-keadilan.html