Memajukan Sektor Pertanian

Sektor pertanian bukan sekadar menghasilkan produk asas
pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih dari itu, kerajaan
menetapkan sasaran menjadikan sektor pertanian turut merangkumi aktiviti
industri atau hiliran menggunakan produk asas pertanian yang dihasilkan.
Usaha memugarkan semula sektor pertanian bukan tugas Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan semata-mata. Usaha ini memerlukan penyertaan
bersama pentadbiran bermula di peringkat kampung, mukim, daerah, negeri dan
seterusnya peringkat pusat dalam program pembangunan sektor pertanian.
Untuk memajukan bidang pertanian memerlukan kepada usaha
pemodenan dan transformasi pertanian, pemindahan teknologi, serta penyertaan
pihak swasta menceburi bidang pertanian secara berskala besar.
Usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara perlu
dilakukan sebagai industri moden, dinamik dan kompetitif. Ini bagi memastikan
sektor pertanian mampu mendatangkan pulangan yang menarik kepada individu atau
pihak yang terlibat dalam sektor berkenaan.
Petani komersial di negara kita mampu memperoleh pendapatan
lumayan. Sudah banyak petani moden dan berskala besar mampu memperoleh pendapatan
lumayan sehingga mencecah lebih 100,000 ringgit setahun. Bahkan, ada petani
komersial kini bergelar jutawan hasil perusahaan pertanian yang dijalankan.
Ini bukti kekayaan boleh diperoleh jika dilakukan dengan
bersungguh-sungguh dan sistematik. Pihak kerajaan sentiasa membuka tawaran
untuk petani mendapat bantuan pinjaman mengusahakan ladang, membeli peralatan
pertanian moden dan khidmat nasihat.
Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap
pembangunan sektor pertanian. Bergantunglah kepada rakyat, khusus di kalangan
mereka yang telah menceburi bidang ini untuk peluang yang terbentang luas.
Tenaga golongan muda diperlukan untuk meningkatkan
produktiviti di desa dan mengubah corak hidup di desa. Lebih banyak lulusan
pengajian tinggi diperlukan sebagai petani. Sikap siswazah yang lebih rela
menganggur daripada menjadi petani membuktikan sikap tidak matang dan tidak
melihat peluang terbuka luas dalam bidang pertanian.
Negara sedang berusaha melahirkan petani komersial atau
korporat yang menjadikan bidang tersebut dipandang tinggi dan mendapat
pengiktirafan sewajarnya. Ini tentulah memerlukan tenaga kerja yang mahir dan
berpendidikan tinggi.
Sekarang ini kira-kira 95 peratus aktiviti pertanian
dilakukan secara tradisional yang berorientasikan kecil-kecilan dan tempatan.
Aktiviti pertanian cara ini dilakukan secara turun temurun dan sekadar
bermatlamatkan memenuhi keperluan sara hidup seadanya.
Untuk itu diperlukan golongan muda berpendidikan,
bermotivasi, berkeyakinan dan cekal menyertainya. Bidang pertanian perlu
dijalankan berorientasikan komersial secara besar-besaran yang diuruskan secara
profesional dan menggunakan teknologi secara intensif dan berdaya saing dengan
mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Revolusi berfikir dan meletakkan matlamat yang tinggi
terhadap sektor pertanian amat perlu dilakukan. Sektor pertanian perlu dilihat
sebagai satu industri nasional dan bukannya berorentasikan kerja kampung.
Bidang pertanian mampu menjadi penyumbang utama kesejahteraan negara.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2025/12/vfd.html