Mca Mic Akan Bertanding Dalam Prn Melaka Zahid
 Kamariah Khalidi       

Pengerusi  Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) diiringi  Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Pengerusi  Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kanan) dan  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua  kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan  Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.  Foto SYAFIQ AMBAK KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional  (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MCA dan MIC akan  bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November  depan. 
Ahmad Zahid berkata, keputusan tersebut  dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama presiden-presiden parti  komponen itu semalam. 
“Sebagai pengerusi BN saya  menghargai komitmen mereka bahawa selain daripada UMNO ada tempat untuk  calon daripada MCA, ada tempat untuk calon MIC. 
“Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)  walaupun tidak meletakkan calon tetapi mereka akan memastikan rakyat  Sabah yang tinggal di Melaka akan terus mengundi BN,” katanya. 
Beliau berkata demikian ketika berucap  pada majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan  Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL)  malam ini. 
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk  Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga  Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Presiden MIC, Tan Sri  S.A.Vigneswaran; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan  Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Selain itu, antara yang turut hadir,  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf  Yusoh; Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan  Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut  menyifatkan PRN Melaka bukan sembarangan pilihan raya kerana ia  merupakan cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. 
“Seperti yang disebut oleh Tok Mat  (Mohamad Hasan) tadi, PRN Melaka adalah cerminan kepada PRU ke-15 tetapi  saya lihat lebih daripada itu kerana daripada 28 kerusi yang akan  dipertandingkan, saya lihat satu cabaran luar biasa. 
“Kita juga tahu ada pihak yang ingin  mengelak pertandingan tiga penjuru, ada pihak yang mahu lihat UMNO akan  berprestasi lebih buruk dari PRU-14 yang lalu,” ujarnya. 
Jelas Ahmad Zahid, berdasarkan kaji  selidik yang telah dijalankan, responden menyebut bahawa berlakunya  penyesalan apabila mereka menolak calon-calon BN pada PRU ke-14. 
“Terdapat hampir 500,000 pengundi di  Melaka dengan 61 peratus pengundi Melayu, 30 peratus kaum Cina, 8.3  peratus pengundi India dan 1.9 peratus lain-lain kaum. 
“Jadi di dalam PRN Melaka kali ini,  mereka menyatakan bahawa penyesalan itu akan ditebus dengan memilih  calon-calon daripada BN,” katanya. 
Ahmad Zahid juga optimis hanya BN sahaja yang mampu mewujudkan kerajaan negeri yang stabil. – MalaysiaGazette 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/mca-mic-akan-bertanding-dalam-prn.html